
KEKALAHAN teruk Umno dalam PRU15 beri kesan trauma yang sangat mendalam kepada Umno. Blok BN yang ditunjangi Umno, MIC dan MCA gagal menjadi parti dominan malah terpaksa melutut kepada PH demi dapat menjadi sebahagian daripada Kerajaan ‘Perpaduan’ biarpun asal kekalahan akibat daripada hasutan fitnah jahat PH yang teruk memburukkan BN semasa kempen PRU15.
Begitupun teruk imej BN dikotorkan Anwar dan konco-konco PH namun demi nafsu dan kepentingan diri sebahagian kecil pemimpin Umno maka diserahkan keseluruhan parti BN demi menagih sedikit jawatan habuan kuasa untuk melepaskan diri, biarpun ditentang sebahagian besar pemimpin Umno dan seluruh pemimpin MCA dan MIC.
Keluhan dan rintihan derita rakyat di bawah slogan Kerajaan Madani amat dirasai oleh beberapa pemimpin Umno yang berulang kali cuba menolak gabungan Kerajaan ‘Perpaduan’ malah beberapa komplot diatur untuk cuba keluar dari gabungan kerajaan namun hampa semuanya berjaya dilenyapkan dengan senyap. Malah beberapa rundingan Umno bersama PN cepat sahaja dihidu dan dipatahkan.
Kerana itu dapat dilihat mengapa sebahagian pemimpin Umno yang pro PH gigih berkempen seluruh pelosok negara cuba mempromosikan kelebihan-kelebihan gabungan Kerajaan ‘Perpaduan’ kepada setiap cawangan dan bahagian Umno. Dr Asyraf cuba meyakinkan setiap ahli-ahli dan akar umbi formula gabungan Kerajaan ‘Perpaduan’ PH-BN akan memberikan kelebihan yang banyak kepada Umno terutama bagi menghadapi PRU16 yang kelak boleh menatijahkan jawatan Perdana Menteri kononnya akan kembali kepada Umno.
Setelah dilihat segala usaha hasutan dan nasihat berkaitan gabungan PH-BN gagal diterima akar umbi malah lebih teruk ahli-ahli sudah mula meluat dan malu apabila label Um-DAP mula kuat melekat pada imej Umno kini maka kempen gabungan PH-BN terpaksa dihentikan.
Perkembangan ini merisaukan pihak PH terutamanya pihak DAP yang sebenarnya sangat memerlukan kepada sokongan Umno demi kelangsungan hayat DAP dalam PRU yang seterusnya. Walaupun dilihat DAP adalah parti kuat dengan sokongan solid pengundi bukan Melayu namun harapan itu sudah mula terhakis apabila pengundi DAP tidak dapat menerima beberapa janji dan manifesto yang tidak ditunaikan.
Penyokong DAP tidak mahu menerima Umno serta menolak beberapa pemimpin DAP yang terpalit rasuah, penyelewengan kuasa serta kronisme dalam parti. Demi memastikan survival PH-BN dapat diteruskan maka pihak DAP melalui PKR telah mendesak Umno untuk menukar pendekatan yang dilihat lebih diterima pihak akar umbi Umno. Maka idea dan agenda ‘Umno Go Solo’ yang kemudiannya diubah pula kepada ‘BN Go Solo’ mula dihasut dan ditanam kepada semua ahli dan penyokong Umno secara diam-diam.
Idea ini ditanamkan dengan hasrat kononnya Umno dan BN wajar bertanding tanpa mana-mana gabungan dengan PH dan PN untuk menghadapi PRU16 nanti. Maka harapan optimis kononnya Umno bersama BN mampu menang besar untuk kembali jadi kerajaan mula disebar dan dipropagandakan kepada semua. Walhal menurut analisa yang berdasarkan kepada PRU15 dan PRN sebelum ini menunjukkan BN secara solo dalam PRU16 akan kehilangan lebih banyak kerusi malah jikapun dapat dipertahankan beberapa kerusi hanya 10 sahaja yang mampu dimenangi BN dengan MCA dan MIC ghuyub terus.
Propaganda ‘BN Go Solo’ yang sebenarnya bukanlah untuk membawa BN bertanding secara solo dalam PRU16 nanti. Malah sebaliknya yang sebenar adalah usaha DAP untuk menggagalkan gabungan PN-BN dalam PRU16 nanti. Pihak PH berjaya menghidu terdapat komplot rahsia antara PN-BN yang telah dibuat beberapa kali untuk membawa kepada penyatuan parti-parti Melayu-Islam seperti Umno, PAS dan BERSATU dalam PRU16 nanti. Gabungan PN-BN kelak boleh menyebabkan PH kalah teruk malah lebih dahsyat lagi beberapa pemimpin utama DAP dan PKR boleh kehilangan kerusi. Dijangka muafakat PN-BN boleh merebut lebih daripada 100 kerusi Parlimen di Semenanjung.
Usaha rahsia rundingan PN-BN ini sangat mendapat sokongan daripada komponen BN seperti MCA dan MIC. Kerana itulah dapat diperhatikan mengapa MCA sangat terlalu kritikal dan melawan kerajaan Madani khususnya kepada pihak DAP sehinggakan MCA dilabelkan sebagai pembangkang dalam blok kerajaan. Malah lebih bangkang daripada pihak pembangkang. MCA dan MIC sedar gabungan PH-BN akan merugikan mereka dengan teruk sebaliknya gabungan PN-BN akan mengembalikan kerusi-kerusi mereka dalam PRU16 nanti.
Disebabkan itulah terdapat gerakan sulit daripada MCA dan MIC untuk memujuk Umno agar menerima gabungan PN-BN. Sehingga hari ini idea gabungan PN-BN sangat diterima oleh beberapa pemimpin tertinggi Umno masalahnya mereka akan terpaksa menghadap beberapa halangan dan sekatan daripada pihak PH yang mahu melihat kerjasama gabungan PN-BN itu dapat digagalkan.
Malah pihak Umno pro PN telah menamakan beberapa pemimpin tertinggi Umno untuk diketengahkan sebagai bakal Perdana Menteri ke-11 (PM11) bagi menunjukkan kesungguhan dan membuktikan keyakinan Umno terhadap idea gabungan PN-BN nanti. Namun beberapa nama itu telah bocor kepada pihak PH menyebabkan amaran dan gertakan telah dikeluarkan bagi mengendurkan komitmen Umno terhadap gabungan PN-BN.
Perpecahan senyap dalam Umno kepada dua kumpulan itu berjaya dikesan oleh PAS yang kemudiannya terpaksalah menyediakan beberapa nama pemimpin PAS yang boleh diketengahkan sebagai bakal PM11 bagi menunjukkan bahawa seolah-olahnya pihak PAS melalui PN bersedia menjadi kerajaan tanpa gabungan PN-BN. Pihak PAS cuba berselindung dengan langkah mengangkat pemimpin PAS untuk menjadi Perdana Menteri walhal sebenarnya untuk menutup rundingan rahsia PN-BN.
Justeru itu janganlah hairan dan terkejut sebaik selesai Muktamar pada 11 hingga 16 September 2025 nanti, PAS akan mengumumkan beberapa nama bakal PM11. Tindakan pengumuman itu bagi memberikan gambaran betapa PAS akan lebih agresif dan lebih bersedia dengan keyakinan tinggi untuk memenangi PRU16 seterusnya akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti yang mudah.
Oleh itu tidak dapat tidak pihak PH khususnya DAP terpaksalah meningkatkan kemesraan lebih daripada sekadar cium mulut dengan Umno. Namun pada masa yang sama cuba menghasut akar umbi Umno untuk ‘Go Solo’ bagi memastikan gabungan PN-BN dapat digagalkan. Justeru itu slogan ‘Umno-BN Go Solo’ akan dijadikan satu usul paling penting dalam Perhimpunan Agung Umno 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025 nanti.
Slogan ‘Umno/BN Go Solo’ suatu agenda sulit jarum halus Umno pro PH untuk gagalkan muafakat PN-BN PRU16. Umno bersandiwara, PAS berlakon, Bersatu main drama, DAP opera cina, Amanah ikut saja, akhirnya PKR main belakang.
KHALID HAMKA
Penganalisis Politik
Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 25/6/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











