
KANGAR: Peranan seorang bapa sebagai teras kekuatan sesebuah keluarga perlu terus dihargai dan diperkasa dalam menghadapi cabaran kehidupan moden masa kini, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Wan Badariah Wan Saad.
Menurutnya, sambutan Hari Bapa merupakan salah satu wadah penting untuk menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan dan sumbangan besar para bapa dalam memastikan keutuhan institusi kekeluargaan.
“Cabaran menjadi bapa hari ini sangat besar. Berdasarkan tinjauan pendapat umum sempena Hari Bapa 2024, sembilan daripada sepuluh bapa menyatakan bahawa menjadi ayah pada zaman ini lebih mencabar berbanding dahulu.
“Antaranya disebabkan kos sara hidup yang tinggi (84.4 peratus) dan cabaran keseimbangan kerja serta kehidupan (72.9 peratus),” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Bapa 2025 Peringkat Negeri Perlis di Taman Buah-buahan Eksotik, kelmarin.
Tambah beliau, tema sambutan tahun ini iaitu “Ayahku, Kapten Keluarga” mengajak masyarakat menghargai peranan bapa sebagai pemimpin yang memandu arah kesejahteraan keluarga berteraskan kasih sayang dan nilai murni.
Wan Badariah turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menyambut baik inisiatif Program Bantuan IUI dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN untuk membantu pasangan mendapatkan zuriat.
“Kuota 100 pasangan yang diperuntukkan kepada Perlis sangat bermakna. Terima kasih kepada pihak KPWKM dan LPPKN atas inisiatif murni ini,” ujarnya.
Dalam usaha memperkasa institusi keluarga secara menyeluruh, beliau memaklumkan bahawa portfolio diterajuinya turut merangka pelbagai program termasuk siri ‘Womens Talk’ yang akan membincangkan isu-isu berkaitan wanita dan kekeluargaan bersama jabatan serta agensi berkaitan.
Sambutan Hari Bapa itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti melibatkan penyertaan keluarga seperti pertandingan memancing, gusti lengan, serta perkhidmatan saringan kesihatan percuma untuk lelaki.
Turut diadakan ialah pendaftaran ujian mamogram dan kanser serviks bagi wanita di bawah kempen WCaRe.
Wan Badariah dalam ucapannya menyeru masyarakat agar menghormati dan menyayangi bapa bukan sahaja dengan pemberian harta benda, malah melalui perhatian, adab dan doa yang berterusan.
“Kesempatan tidak selalunya datang. Kepada yang berjauhan, bertanyalah khabar. Bagi yang telah kehilangan bapa, kirimkan doa untuk mereka di sisi-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











