
KUALA TERENGGANU: Kerajaan digesa segera mengkaji dan melaksanakan sistem penghadang ‘roller barrier’ bagi menangani kemalangan maut di kawasan berisiko tinggi, khususnya Jalan Raya Timur–Barat yang kerap meragut nyawa.
Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata demikian susulan tragedi kemalangan bas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 pelajar dari daerah Besut dan Setiu.
Menurut Ahli Parlimen Setiu itu, nahas itu bukan saja menyayat hati, tetapi juga memperlihatkan betapa lemahnya sistem keselamatan jalan raya negara.
“Kehilangan ini amat menyayat hati dan merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Mereka adalah anak muda yang menjadi harapan ummah dan masa depan bangsa.
“Tragedi ini sekali lagi menzahirkan kelemahan sistem keselamatan jalan raya di negara ini, khususnya membabitkan laluan berisiko tinggi serta kenderaan berat komersial seperti bas dan lori.
“Ini bukanlah kemalangan pertama dan pastinya bukan yang terakhir jika kelemahan ini tidak dipandang serius oleh pihak kerajaan. Laluan seperti Jalan Raya Timur–Barat kekal sebagai salah satu laluan berisiko tinggi sejak sekian lama.
“Sehingga hari ini, jalan tersebut tidak dilengkapi keperluan asas seperti garisan putih, papan tanda amaran yang mencukupi dan sistem penghadang yang berkesan.
“Ketiadaan infrastruktur asas ini menjadikan jalan tersebut sangat berbahaya, khususnya kepada kenderaan berat yang menggunakan laluan berbukit, berselekoh tajam dan cerun yang curam,” katanya.
Shaharizukirnain berkata, teknologi ‘roller barrier’ yang digunakan di negara seperti Korea Selatan terbukti dapat mengurangkan kadar kemalangan maut sehingga 94 peratus dengan menyerap daya hentakan dan memastikan kenderaan terus berada di laluan asal.
“Sejak beberapa tahun lalu, saya telah mengusulkan di Parlimen agar sistem penghadang jalan berasaskan teknologi ‘roller barrier’ dipasang di kawasan (hotspot) kemalangan.
“Sistem ini telah terbukti berkesan di negara seperti Korea Selatan dalam mengurangkan impak pelanggaran, mengawal arah kenderaan dan meminimumkan risiko kematian.
“Sistem ini menggunakan silinder berputar daripada bahan elastik EVA (ethylene-vinyl acetate) untuk menyerap tenaga hentakan dan menukar daya itu kepada gerakan berpusing.
“Hasilnya, kenderaan akan terus berada dalam laluan asal tanpa terbalik atau melantun ke arah bertentangan,” jelas beliau.
Beliau berkata, meskipun Kerajaan Madani telah mengumumkan peruntukan RM30 juta pada Ogos 2023 untuk penaiktarafan Jalan Timur–Barat, sehingga kini tiada penambahbaikan signifikan dapat dilihat di laluan tersebut.
Lebih membimbangkan kata beliau, menurut kenyataan terkini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kos sebenar yang diperlukan untuk kerja baik pulih menyeluruh bagi laluan berkenaan dan jalan berkaitan dianggarkan mencecah sehingga RM4 bilion setahun.
“Ini bermakna peruntukan RM30 juta yang disalurkan itu hanyalah kurang daripada 1 peratus daripada jumlah keperluan sebenar.
“Satu angka yang amat kecil dan jauh daripada jumlah yang diperlukan bagi menaiktaraf jalan tersebut sekali gus komitmen serius kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus dipersoal.
“Lebih mengejutkan, pada masa yang sama, projek-projek mega seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang menelan kos lebih RM10 bilion, serta pelebaran Lebuhraya PLUS dilaksanakan dengan segera.
“Sedangkan laluan kritikal seperti Jalan Timur–Barat yang telah meragut banyak nyawa dan memerlukan penaiktarafan mendesak masih tidak diberi perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan segera menyalurkan peruntukan penuh bagi kerja naik taraf Jalan Timur–Barat, termasuk pemasangan sistem ‘roller barrier’ di kawasan selekoh dan cerun berbahaya.
“Saya juga menyarankan agar Kementerian Pengangkutan menjalankan audit dan kajian menyeluruh terhadap tahap keselamatan, pemanduan serta kelayakan operasi kenderaan berat di laluan berisiko tinggi.
“Jangan jadikan tragedi UPSI ini satu lagi angka dalam statistik kematian jalan raya. Ia harus menjadi ‘wake-up call’ paling menyentuh hati kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan.
“Anak muda yang terkorban hari ini adalah amanah negara. Maka menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil langkah pencegahan yang sistematik dan pantas, sebelum lebih banyak nyawa terkorban,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











