
KUALA LUMPUR: Permusuhan antara Iran dan negara haram Israel bermula selepas revolusi rakyat Iran pada 1979 menjatuhkan pemerintahan Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi yang ketika itu menjadi boneka Barat dan sekutu rapat rejim Zionis.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perubahan dibawa Imam Khomeini bukan sahaja mengembalikan pemerintahan Islam di Iran, malah menetapkan agenda membebaskan Baitulmaqdis sebagai teras negara itu.
“Ini satu-satunya negara yang meletakkan teras ini yang tidak ada di negara-negara Islam lain khususnya negara-negara Arab. Mesir, Iraq, Syria ini merupakan negara-negara Arab yang kuat di mana teras dan rukun negaranya ialah perkauman Arab.
“Apabila Imam Khomeini menubuhkan Republik Islam Iran melalui revolusi, beliau meletakkan salah satu teras ataupun rukun negara ini ialah membebaskan Baitulmaqdis. Setiap tahun, bajet yang dikeluarkan akan diperuntukkan untuk agenda tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung siri “Bicara Isu Perang Iran-Israel: Dari Perang Proksi ke Perang Dunia” anjuran Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), malam tadi.
Mengulas sejarah, beliau menjelaskan kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada 1924 menjadi titik tolak kepada perancangan imperialisme Barat dan gerakan Zionis untuk melemahkan umat Islam dan menubuhkan negara haram Israel di tanah Palestin.
“Kedua-dua entiti ini bergabung kerana mereka mempunyai titik persamaan iaitu bagi imperialisme Barat, mereka mahu membalas dendam kekalahan dalam Perang Salib, dalam masa yang sama mereka mengimpikan dunia Islam yang kaya.
“Untuk memastikan imperialisme dan kuasa mereka terus diperkasa dan diperkukuhkan. Mereka mempunyai agenda agama untuk menubuh dan mengasaskan negara bagi orang Yahudi yang berpusat di Palestin.
“Seterusnya meluaskan lagi negara tersebut kepada wilayah-wilayah di Timur Tengah pada hari ini, di mana akhirnya mereka berjaya dan jatuh kerajaan Islam Uthmaniyah,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Terengganu itu.
Tegas beliau, walaupun Iran adalah majoriti Syiah, namun sikap mereka yang konsisten menentang kezaliman Zionis Israel seharusnya disokong oleh seluruh umat Islam atas dasar prinsip, bukan mazhab semata-mata.
“Kita menyokong Iran dari sudut politik kerana mereka masih lagi orang Islam Ahl al-qibla. Kita sokong mereka di atas dasar politik yang diambil oleh mereka adalah satu keputusan yang betul dan tepat.
“Bilamana meletakkan agenda membebaskan Baitulmaqdis dan menentang kezaliman Zionis Israel yang didokong oleh negara-negara Barat pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2025











