
AGAK luas jurang pengorbanan dan keharakian yang ditinggalkan oleh generasi pimpinan dahulu dengan pimpinan masa kini di pelbagai peringkat organisasi. Generasi yang dicetak dengan perkaderan dakwah yang serius, dibelai dengan mehnah dan ibtila’ di jalan perjuangan, disepuh dengan pengalaman jeriji besi dan buang daerah, intimidasi yang memeritkan. Generasi syabab dekad 1970-an dan 1980-an, seperti Almarhum Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Sidek Noor, Ustaz Abdul Halim Arsyad, Ustaz Ibrahim Mahmud dan ratusan nama besar lain yang dicetak dengan pelbagai mehnah termasuk pemenjaraan.
Masa berlari pantas. Harakatul ummah ini bukan lagi di sudut sempit padang perjuangan namun telah berada di tengah podium kekuasaan dengan menjadi parti terbesar memiliki ahli legislatif dalam Parlimen dan DUN negara ini.
Pagi ini ketika aku berkejar ke Darul Iman Training Centre (DITC) di Kemaman untuk menghadiri kursus, terbayang teman-teman aktivis yang telah berkelana ke alam abadi. Kelmarin, sempat aku menziarahi keluarga Abang Rostam Omar, mantan Presiden Usrah Kebajikan Professional (UKP), sebuah ikatan alumni aktivis pelajar pelajar Islam Universiti Malaya. Insan yang baik tetap terpahat dalam ingatan kolektif kita semua, terutama di zaman PAS serba sukar untuk bergerak dalam sendi masyarakat urban. Pagi ini terkenang sosok pejuang berlapis besi kursani sempena ulang tahun pemergiannya ke alam abadi, sosok yang melonjakkan idea kepimpinan ulama dalam dekad 1980-an ialah Almarhum Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik (ABC).
Gaya Almarhum dengan ketajaman akal, pemikiran analitikal tidak akan mampu diteladani tahap pemimpin zaman koridor kuasa. Ini mungkin kerana latar pengalaman yang berbeza serta kecanduan kepada budaya ilmu beliau.
Maestro dakwah dan haraki di dalam PAS yang telah sebelas tahun meninggalkan kita semua, kami di zaman muda memesrainya dengan panggilan Ustaz ABC. Pada tanggal 23 Jun 2014, Almarhum menutup kisah-kisah heroik beliau dalam rentan panjang perjuangan Islam semenjak zaman remaja lagi sehinggalah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di LPT2.
Ribuan menyolati jenazah Almarhum di Kompleks MTT Tok Jiring. Siapapun yang mengenali Almarhum, tidak mampu mengekang air mata luruh perlahan kerana memahami dunia harakah Islam kontemporari kehilangan puteranya.
Terkenal dengan reputasinya dalam bidang pendidikan, Almarhum juga seorang jurubina kader yang tersohor. Idea-ideanya melangkaui zaman dan keseriusan untuk memeluk segala impian maka insan ini begitu komited bekerja.
“Ustaz, anta tak penat ke dalam usia begini ke sana dan ke mari mengejar program dan mesyuarat?” polos soalanku pada Ustaz ABC. “Ana ni ambik semangat orang muda, suka bekerja dengan orang muda, orang muda mana ada istilah penat?” tukasnya dengan terang, namun ada tawa kecil di hujung jawapan. Beliau mengotakan kata-katanya; tiada istilah bosan dan lelah dalam perjuangan.
Almarhum bukan sahaja memenuhi pelbagai undangan ceramah, mengisi program tajnid dalam jaulah, tamrin, ijtimak namun menggunakan pelbagai kenderaan untuk sampai ke lokasi program. Menaiki bas, kereta, membonceng motosikal dan tiba di lokasi program dengan senyuman khasnya. Begitu juga untuk melepas penat seharian berprogram, kadang terbaring dengan dengkuran halus di mana sahaja, termasuk di Markas Tarbiah. Alumni tahanan politik ISA ini mencintai jamaah dan jalan jihad sepenuh relung hatinya.
Sosok ini terus menjadi kenangan kolektif kita semua. Menjadi aktivis semenjak zaman remaja, idealis kampus serta aktivis yang berani mendombrak kezaliman sehingga mendekam dalam tahanan ISA. Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik adalah kejora di langit malam yang menghiasi rentang perjuangan PAS lebih tiga dekad.
Memimpin anak-anak muda, bahkan dengan gaya pemberani serta tegas, beliau singa jalan raya yang memimpin puluhan siri bantahan awam di negara ini. Watak pemberani yang dikacuk dengan sifat dahagakan ilmu pengetahuan, beliau adalah calon Doktorat UNISEL serta tidak pernah jemu bertalaqi. Jangan bercerita tentang sulitnya mengatur program kepada beliau kerana tiada yang sulit dalam menjayakan apa sahaja program jika diawali dengan niat yang baik serta keseriusan untuk menjayakan program.
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 1970an bersama Dr. Abu Bakar Abdullah,
Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam.
Almarhum dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Kami anak-anak kampus pernah menggalang demonstrasi membantah kezaliman kerajaan Terengganu terhadap Institut Berakan. Almarhum dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini Kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.
Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988. Kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli-ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.
Almarhum menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984.
Sekali lagi, namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai Pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.
Ustaz ABC menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Portfolio Pertanian. Almarhum sentiasa kaya dengan idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma.
Aku teringat Almarhum menemani aku makan tengah hari usai Program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang Almarhum sendiri asaskan. Lontaran ideanya untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat.
Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalas-malasan dan memberikan alasan, itulah kekandaku, ustaz ABC. Aku tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tidak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.
Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 bersama-sama Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Dato’ Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Dato’ Hussain Awang dan menjadikannya sebuah sekolah kader terbesar PAS.
Almarhum juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan Almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.
Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata. Almarhum tidak lelah menyemangati anak-anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor.
Generasi pemuda PAS di era Almarhum adalah yang paling cemerlang, menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.
Terlalu banyak yang perlu aku coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baikku ini, namun aku mengejar masa untuk berprogram padat hari ini.
Sejujurnya, Dato’ Abu Bakar Chik adalah sumber inspirasi yang tidak pernah malap kepada kami, generasi syabab dekad 1990an. Berusrah dengan Almarhum bermakna kami kena ‘cas ligas’ berkeringat demi Islam dan perjuangan.
Melihat Kompleks Pendidikan Islam MTT Tok Jiring seolah-olah menyimbah rasa kesayuan dan kerinduan yang tidak terbendung.
Buah ideanya paling akhir sebelum menghadap ilahi ialah Maahad tahfiz OKU (penglihatan) di MTT Tok Jiring Terengganu.
Semoga segala keringat dan penat lelah Almarhum menjadi baja pahala yang tidak putus-putus kepada Ustaz ABC yang kami rindui sepanjang hayat kami. Generasi era tamkim tidak lagi melihat kelibat kepimpinan sehebat ini, berkeringat dan memerah idea sehabis upaya!
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 23/6/2025











