
ARAU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menyeru ahli dan kepimpinan PAS menjadikan Mesyuarat Agung Tahunan atau Muktamar sedang berlangsung ketika ini sebagai medan merangka hala tuju perjuangan Islam yang lebih luas dan bersifat antarabangsa.
Dalam ucapannya, Tuan Guru Hashim menyeru seluruh ahli dan pimpinan PAS agar memperluaskan medan pemikiran dan cakupan perjuangan melepasi sempadan negeri dan negara, seiring dengan cabaran yang dihadapi umat Islam di seluruh dunia.
“Kita tidak boleh lagi berfikir dalam lingkungan tempatan semata-mata. Apa yang sedang menimpa umat Islam di Palestin, Syria, dan seluruh dunia adalah cabaran global yang mesti kita tangani dengan fikrah dan strategi yang juga bersifat global,” tegas beliau.
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Arau kali ke-51 yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (Kompas), di sini kelmarin.
Beliau turut mengimbas sejarah penubuhan PAS pada tahun 1951 sebagai manifestasi kekecewaan ulama kepada penolakan Umno terhadap politik Islam.
“PAS bukan lahir secara kebetulan, tapi ditubuhkan oleh para ulama apabila politik Islam ditolak dalam Umno, maka PAS adalah jawapan kepada kehendak Allah untuk menegakkan agama-Nya dalam sistem kenegaraan,” jelas beliau.
Menyentuh soal ideologi dan asas gerakan Islam, beliau menegaskan bahawa PAS sejak awal tidak pernah lari daripada tiga asas penting iaitu tauhid, risalah dan khilafah.
“Kalau ada parti yang dakwa mereka parti Islam tapi tak bawa tiga perkara ini tauhid, risalah dan khilafah maka mereka bukan parti Islam. PAS hidup dan terus berkembang kerana kita teguh dengan asas ini,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, PAS kini menjadi parti dengan jumlah Ahli Parlimen paling ramai di Malaysia, suatu pencapaian yang lahir daripada kekuatan pendidikan dan tarbiah, bermula dari institusi pondok dan pusat pengajian Islam.
Tuan Guru turut mengingatkan bahawa perjuangan Islam tidak boleh dicemari dengan pandangan sekular dan liberal, serta mengecam pihak yang cuba membenarkan suara Islam melalui jalur fahaman songsang.
“Kita tengok sekarang, ada kumpulan yang tak tutup aurat pun nak bercakap soal Islam (merujuk kepada Sister In Islam) mereka ini pejuang sekular yang diberi ruang oleh masyarakat. Kita mesti bangkit membawa Islam yang sebenar,” tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau menegur sikap segelintir pihak yang ghairah bergaduh sesama sendiri sedangkan umat Islam terus dizalimi di peringkat antarabangsa.
“Adakah ada masa lagi untuk kita bercakaran, sedangkan rakyat Palestin terus dibunuh oleh Zionis? Kita mesti noktahkan agenda kita sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Menutup ucapan, beliau mengajak semua ahli PAS supaya terus berdoa dan berazam untuk memperkukuh jemaah, membawa PAS ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, ekonomi dan pendidikan. – HARAKAHDAILY 23/6/2025











