Pandangan Datuk Zaid selari dengan prinsip PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik pemerhatian saksama dan komentar terus terang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen), Datuk Mohd Zaid Ibrahim, khususnya berkaitan perkembangan politik negara dan kedudukan PAS.

- Advertisement -

Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berterima kasih atas pandangan jujur Mohd Zaid yang mengulas kekuatan dan kelemahan PAS, termasuk saranan penting bagi memperkukuh usaha parti ke arah merealisasikan cita-cita memimpin negara.

“Paling menarik ialah pandangan beliau mengenai gabungan prinsip moral dengan tadbir urus baik dan pendekatan inklusif sebagai landasan penting bagi membawa negara ke tahap lebih tinggi.

“Bagi PAS sebagai parti berteraskan Islam, agenda moral, nilai unggul dan akhlak akan kekal sebagai tonggak utama dasar, tindakan, wawasan serta standard yang memandu perjalanan parti serta kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Hal demikian bagi membuahkan persekitaran yang baik untuk semua pihak dan kalangan,” kata Setiausaha Agung PAS itu menerusi kenyataan rasmi, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, komitmen pada moral dan akhlak dalam kehidupan, baik peribadi atau awam, bagaimanapun tidaklah eksklusif kepada PAS atau Islam.

“Sebaliknya ia mendapat perhatian banyak pemikir dan penulis besar sejak zaman berzaman dan terus menjadi topik penting hingga ke hari ini, terutama sekali apabila berlakunya kerosakan besar menggugat kecekapan fungsi institusi politik serta kepercayaan orang awam terhadapnya,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada tokoh-tokoh besar dalam sejarah Barat seperti Plato, Aristotle, St. Augustine, Thomas Hobbes, John Locke dan Immanuel Kant yang telah membahaskan peranan moral dalam memastikan politik berfungsi untuk kebaikan manusia sejagat, sekali gus menghalang penyalahgunaannya.

Takiyuddin memetik penggubalan 7 Prinsip Nolan oleh Jawatankuasa Standard Kehidupan Awam di United Kingdom (UK) pada 1995 sebagai bukti perlunya panduan moral dalam tadbir urus susulan skandal politik yang menggugat kepercayaan rakyat.

“Ini memberi gambaran tentang kepentingan dan keutamaan moral dan etika sebagai teras kehidupan awam, termasuk politik dan kerajaan.

“Nilai dan kepercayaan awam adalah tonggak kepada kepimpinan politik yang beretika, sementara kepercayaan awam itu sendiri merupakan unsur penting kepada keberkesanan sesebuah kerajaan demokratik,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata, ketegasan PAS dalam menjunjung integriti turut diperakui oleh Zaid, yang mengakui kebersihan pemimpin PAS daripada rasuah dan amalan tidak bermoral.

“Ia adalah justifikasi kepada ketegasan PAS dalam hal ini yang turut diakui oleh Zaid dari sudut kebersihan pimpinan PAS daripada rasuah dan amalan korup.

“Ini berlawanan dengan kerajaan semasa yang bukan sahaja dilihat gagal menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum ini, tetapi turut terpalit dengan dakwaan kronisme, penyalahgunaan kuasa, sekatan kebebasan bersuara dan sebagainya.

“Ia akan menghakis kepercayaan bukan sahaja orang awam, tetapi juga penyokong tegarnya,” katanya.

Dalam pada itu, PAS juga akuinya, komited kepada kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti, keterbukaan, integriti, kejujuran, keadilan serta kepimpinan berhemah dalam menjalankan peranannya sebagai parti politik dan kerajaan.

“Demi memajukan kepentingan awam, sekali gus mempertahankan kepercayaan orang ramai terhadap institusi, sistem dan proses pemerintahan negara,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Mohd Zaid yang terkenal dengan sejarah lompat parti dari Umno ke PKR, DAP dan parti KITA, kini mencuri perhatian apabila secara terbuka memuji PAS.

Beliau menyatakan PAS berpotensi memimpin negara jika berjaya menggabungkan prinsip moral yang jelas dengan tadbir urus baik dan pendekatan inklusif. – HARAKAHDAILY 22/6/2025

- Advertisement -