
SEJURUS serangan 7 Oktober 2023, Benjamin Netanyahu membuat pengisytiharan agenda Timur Tengah baharu iaitu agenda perluasan negara haram Israel.
Halangan paling besar ke atas Netanyahu ialah ‘Mihwar al-Muqawamah’ yang diketuai oleh Iran.
Sepanjang dua tahun respon serangan balas, Zionis Israel berjaya melemahkan halangan di atas melalui pembunuhan beberapa tokoh utama HAMAS dan Hizbullah seperti as-Syahid Ismail Hanieyah, Hassan Nasrullah, Ibrahim Sinwar dan lain-lain lagi.
Fasa pertama agenda peluasan negara haram Israel ialah menjajah kembali Gaza, Tebing Barat dan Selatan Lubnan.
Keseluruhan agenda di atas berjalan dengan lancar dengan dukungan Amerika Syarikat dan sokongan Arab.
Netanyahu bertambah ghairah setelah kejatuhan mengejut kerajaan Syria pimpinan Basyar al-Assad yang memberi impak positif di luar jangka yang membawa perluasan kawasan Bukit Golan serta memotong saluran sokongan kepada Hizbullah di Lubnan.
Kini halangan utama kepada Zionis Israel ialah Republik Islam Iran yang dianggap oleh Netanyahu sebagai ‘kepala ular’.
Andai kata Zionis Israel berjaya mengalahkan Iran dan berlakunya penukaran rejim boneka Barat, maka cita-cita Netanyahu untuk melaksanakan Timur Tengah Baharu akan tercapai.
Alasan untuk memusnahkan loji nuklear Iran hanyalah lakonan sahaja. Hakikat sebenarnya ialah kerana Iran satu-satunya negara yang menjadi penghalang kewujudan negara haram Israel dan agenda perluasan Israel Raya yang diidamkan oleh gerakan Zionisma.
Mereka merancang sedangkan Allah juga merancang. Allah adalah sebaik perancang.
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
22 Jun 2025 – HARAKAHDAILY 22/6/2025











