
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini berhubung isu melibatkan Sisters in Islam (SIS) terhadap fatwa liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan di Selangor pada 31 Julai 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya menyambut baik keputusan mengekalkan fatwa yang mengisytiharkan fahaman itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Namun, Kerajaan Negeri Terengganu juga berkongsi rasa dukacita dan kebimbangan sebagaimana yang dizahirkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Sultan Selangor terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Yang menyatakan bahawa fatwa tersebut tidak terpakai terhadap pertubuhan atau institusi seperti SIS Forum Malaysia, tetapi hanya terpakai terhadap individu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai cabaran besar kepada usaha kerajaan-kerajaan negeri membendung ajaran sesat dan fahaman menyeleweng disebar melalui entiti yang berlindung di sebalik nama Islam.
“Ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam, khasnya umat Islam, terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran agama. Kerajaan Negeri Terengganu berpandangan bahawa sebarang entiti.
“Sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta membawa tafsiran songsang terhadap ajaran Islam wajar ditangani secara tegas.
“Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip dan dasar syariah Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyokong pandangan penghakiman berbeza oleh Hakim Dato’ Abu Bakar Jais yang menegaskan bahawa Mahkamah Syariah memiliki bidang kuasa dalam memutuskan isu-isu melibatkan entiti beroperasi atas nama Islam.
Di samping sesebuah pertubuhan yang jelas beroperasi atas nama Islam dan ditadbir oleh individu beragama Islam tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan.
“Kami juga menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan serta pihak-pihak berkepentingan untuk memperkukuhkan perundangan dan mekanisme penguatkuasaan agar penyebaran fahaman sesat.
“Melalui medium bukan individu dapat dibanteras lebih berkesan. Ini penting untuk melindungi akidah umat Islam dan menjamin kemurnian ajaran Islam di Malaysia.
“Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk terus memartabatkan syariah Islam di negeri ini, menyokong usaha penguatkuasaan terhadap ajaran sesat dan menyeleweng, serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2025











