Aib ditutup, rahmat diturunkan: Iktibar kisah Nabi Musa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mengingatkan masyarakat supaya tidak membuka aib orang lain sebaliknya mendoakan agar mereka diberikan hidayah untuk kembali ke jalan Allah.

Beliau berkata, perkara itu dapat diambil iktibar daripada kisah disebut dalam hikmah para ulama mengenai peristiwa pada zaman Nabi Musa AS ketika bumi dilanda kemarau panjang sehingga tanah retak, tanaman mati, binatang kelaparan dan manusia hidup dalam kesusahan.

“Sebagai Nabi yang diberi keistimewaan untuk berbicara terus dengan Allah, Nabi Musa mengumpulkan seluruh kaum Bani Israel lalu mengajak mereka menunaikan solat Istisqa’. Mereka berhimpun, tunduk memohon agar Allah menurunkan hujan.

“Selesai solat, Nabi Musa berdoa dengan penuh pengharapan. Namun tiada tanda-tanda hujan. Lalu Allah menyampaikan kepada Nabi Musa bahawa hujan itu tidak akan turun.

“Bukan kerana doa tidak mustajab, tetapi kerana ada dalam kalangan mereka seorang yang telah melakukan dosa besar, namun belum bertaubat,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, Allah menyatakan bahawa dosa itu tidak diketahui sesiapa pun tetapi diketahui oleh-Nya dan kerana itu, seluruh kaum tertahan daripada menerima rahmat.

“Lalu Nabi Musa pun berdiri dan mengisytiharkan kepada semua, ‘Wahai kaumku, Allah telah berfirman kepada aku. Ada seorang dalam kalangan kita yang melakukan dosa besar.

“‘Selagi dia tidak bertaubat, hujan tidak akan turun. Maka siapa pun dia, jika dia tahu dosanya, maka bertaubatlah kepada Allah’,” Dato’ Amar mengulang cerita tersebut.

Katanya, orang yang berdosa itu bergelut dengan perasaannya kerana jika dia bangun dan mengaku, tentu aibnya akan terbongkar serta mungkin akan dihukum, tetapi jika dia diam, satu kaum terus menderita.

“Akhirnya, dalam tangis yang tersembunyi, dia mengangkat tangannya dan bertaubat. Dengan hati yang hancur dan lidah yang mengucap pengharapan, dia memohon keampunan.

“Tidak di hadapan manusia, tetapi di hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui. Dalam sunyi, dia mengaku. Dalam sepi, dia menangis. Tiba-tiba awan mula berkumpul. Langit gelap. Angin lembut bertiup. Hujan pun turun dengan lebat. Seluruh kaum bersyukur.

“Nabi Musa bertanya kepada Allah, ‘Ya Tuhan, bagaimana hujan boleh turun? Tidak ada sesiapa pun yang bangun mengaku.’ Allah menjawab, ‘Dia telah bertaubat kepada-Ku. Hatinya menangis dan menyesal’,” terangnya.

Mohd Amar berkata, apabila Nabi Musa bertanya adakah dia boleh mengetahui identiti orang itu, Allah menjawab, ‘Selama empat puluh tahun Aku sembunyikan dosanya, hari ini dia bertaubat, apakah patut Aku membuka aibnya?’

Katanya, kisah itu jelas menunjukkan kasih sayang Allah yang amat besar kerana walaupun seseorang bergelumang dalam dosa bertahun-tahun, selagi belum dijatuhkan hukuman di dunia dan belum terbongkar, pintu taubat tetap terbuka.

“Dan yang lebih indah, Allah sendiri melindungi aibnya. Maka siapa kita untuk membuka aib saudara kita? Siapa kita untuk menyebarkan kesalahan orang, sedangkan Allah sendiri menutupnya?

“Kalau seseorang berbuat salah dan tidak diketahui umum, tugas kita bukan menyebar, tetapi mendoakan dia kembali kepada Allah.

“Kerana kadang-kadang, insan yang pendosa itulah yang akhirnya lebih dekat dengan Tuhan berbanding mereka yang merasa diri sudah baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -