NGO Islam Selangor desak bendung kegiatan SIS Forum

Setiausaha Sekretariat Perunding NGO/i Selangor (SPISE), Mohd Yusof Abdullah (tengah) bersama Gabungan NGO Islam Selangor turut mendesak agar langkah tegas diambil bagi membendung sebarang kegiatan SIS Forum yang bertentangan dengan ajaran Islam. (FOTO: SPISE)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sebanyak 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor bergabung menyatakan solidariti penuh terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam isu berkaitan fatwa terhadap Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia).

- Advertisement -

Setiausaha Sekretariat Perunding NGO/I Selangor (SPISE), Mohd Yusof Abdullah berkata, Gabungan NGO Islam Selangor turut mendesak agar langkah tegas diambil bagi membendung sebarang kegiatan SIS Forum yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak mengikat SIS Forum atas alasan ia merupakan pertubuhan berdaftar, keputusan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kegiatan mereka yang dilihat semakin mendapat liputan dan sokongan, termasuk dari kumpulan sealiran di dalam dan luar negara.

“Namun mahkamah dalam masa yang sama turut mengesahkan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan pengikutnya perlu bertaubat,” katanya dalam sidang media isu SIS Forum cabar fatwa di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, di sini hari ini.

Tambah beliau, Gabungan NGO juga menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menegaskan SIS Forum tidak lagi dibenarkan menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam kegiatan mereka.

“Justeru, kami akan terus bersuara dan mendesak agar penguatkuasaan terhadap fatwa, khususnya di Selangor, diperhebatkan bagi membendung penyebaran pemikiran sesat sama ada secara individu mahupun berorganisasi,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

“Hal demikian agar perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” katanya.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan SIS Forum berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keputusan itu dibuat secara majoriti, dengan tiga daripada empat hakim yang bersidang bersetuju untuk membenarkan rayuan yang difailkan oleh SIS Forum.

Mereka ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Seorang lagi hakim, Datuk Abu Bakar Jais, tidak bersetuju dengan keputusan itu, manakala seorang lagi ahli panel, Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil, telah bersara pada April lalu dan tidak mengambil bahagian dalam keputusan akhir. – HARAKAHDAILY 20/6/2025

- Advertisement -