
KUALA LUMPUR: Konvensyen Kesedaran Keselamatan Wanita dan Kanak-Kanak bertemakan ‘Wanita Berani, Bijak Beraksi’ bakal berlangsung esok pada, 21 Jun (Sabtu) di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Badak, Bachok, Kelantan.
Program ini dianjurkan oleh Briged Muslimat Malaysia dan Briged Muslimat Kelantan dengan kerjasama Persatuan Wanita Darulnaim (WARDANI) sebagai satu platform kesedaran awam terhadap isu keselamatan wanita dan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.
Konvensyen akan bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang, dan terbuka secara percuma kepada semua wanita dan beliawanis.
Menariknya, 200 peserta terawal bakal menerima lunchbag eksklusif percuma, manakala peserta yang mendaftar awal turut berpeluang memenangi hadiah misteri yang disediakan pihak penganjur.
Antara pengisian utama ialah Forum Istimewa bertajuk ‘Red Alert! Lindungi Diri, Jauhi Bahaya’ yang menampilkan panel berpengalaman oleh Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, ASP Siti Shaikhah Abdul Hadi.
Serta, peguam bela dan peguam cara merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimat Legal Team Kelantan, Roshayati Hassan.
Forum ini dijangka menyentuh isu jenayah terhadap wanita serta memberikan panduan keselamatan dari sudut perundangan dan tindakan praktikal.
Majlis perasmian yang dijadualkan dalam Slot 2 akan disempurnakan oleh Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan.
Program turut diserikan dengan sesi Santai Talk: Cyber Security yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Sains dan Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Siti Norul Huda Sheikh Abdullah untuk memberi pendedahan isu keselamatan digital dan perlindungan privasi dalam era teknologi.
Selain itu, Slot 4 iaitu Demonstrasi Pertahanan Diri oleh Persatuan Taekwondo Kelantan yang akan mempamerkan teknik asas mempertahankan diri menggunakan peralatan sekeliling dan latihan praktikal berguna untuk wanita dalam situasi kecemasan.
Menurut penganjur, konvensyen ini bukan sahaja bertujuan memberi ilmu dan kesedaran, tetapi berperanan membina jaringan sokongan antara peserta dengan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Penganjur turut memaklumkan bahawa pendaftaran masih dibuka secara dalam talian melalui pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfSkvrZ52QGtVfjxOSNuf637L43kQAwi_9-Y1hDKMTmU3Z5wQ/viewform.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi urus setia menerusi talian WhatsApp Nur Illiyeen, www.wasap.my/60132474363/KeselamatanWanita (013-2474363) atau Qurratu’ain, www.wasap.my/60145142159/KeselamatanWanita (014-5142159). – HARAKAHDAILY 20/6/2025












