Paras kolesterol tinggi punca nyanyuk awal?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biasanya nyanyuk itu dikaitkan dengan orang tua kerana komposisi otaknya sudah mereput dan itu diberi nama penyakit demensia.

- Advertisement -

Namun, menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, kajian terbaharu mendapati penyakit nyanyuk sudah mula dikesan 10 hingga 20 tahun lebih awal.

“Maknanya dalam sekitar 40 hingga 50 tahun sudah pun mempunyai gejala demensia. Usia agak muda! Sesuatu yang mengejutkan!” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata, risiko terbaharu penyebab kepada demensia adalah paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) yang tinggi.

“Kajian terkini dalam ‘Jurnal Lancet dan Neurology’ (2025) mendapati bahawa paras kolesterol LDL berisiko 48 peratus lebih tinggi untuk demensia berbanding paras yang normal. Hampir separuh tu risikonya,” dedahnya.

Dr Suhazeli turut menyifatkan penemuan berkaitan ubat statin sebagai berita gembira.

“Statin dapat mengurangkan risiko demensia. Ia adalah ubat anti-kolesterol yang biasa diberikan kepada mereka yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular.

“Banyak kajian seluruh dunia yang mendapati statin digunakan untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, darah tinggi dan seumpamanya,” terangnya.

Menurut beliau, kajian terbaharu itu memberi harapan baharu bahawa statin boleh membantu mengurangkan risiko demensia atau nyanyuk.

“Penyelidikan yang diterbitkan dalam ‘Journal of Neurology, Neurosurgery & Psychiatry’ pada April 2025 menunjukkan bahawa individu dengan paras kolesterol LDL normal mempunyai risiko 26 peratus lebih rendah untuk demensia.

“Maknanya ketahui paras kolesterol anda. Jika normal – anda berisiko lebih rendah untuk penyakit nyanyuk sebanyak 26 peratus,” jelasnya.

Beliau berkata, kajian itu juga mendapati penggunaan statin dapat menurunkan lagi sebanyak 13 peratus dalam risiko demensia.

“Walaupun ada segelintir pihak yang memperlekehkan penggunaan statin ini akibat daripada sedikit kesan sampingan. Tetapi kita memilih untuk mengambilnya kerana manfaatnya melebihi daripada risiko kesan sampingan yang kecil itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, intervensi awal dan pengubahsuaian gaya hidup seperti mengamalkan diet sihat untuk jantung, aktiviti fizikal teratur dan penggunaan statin apabila perlu, akan bermanfaat dalam mengurangkan risiko demensia. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -