Integriti bukan retorik, sebaliknya tuntutan moral

lAnwar Ibrahim digesa berundur

Mohd Firdaus Mohamed Nawi
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS konsisten dengan pendirian bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajar berundur susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu yang memihak kepada plaintif, Muhammed Yusoff Rawther.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, isu berkenaan bukan hanya melibatkan soal undang-undang, namun turut melibatkan integriti, maruah kepimpinan dan kredibiliti pentadbiran negara.

“Fakta yang tidak boleh dihapus, pada 2019 Yusoff membuat laporan polis dakwa diganggu secara seksual oleh Anwar. Pada 2020, siasatan dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kemudian pada 2021, beliau mengambil tindakan sivil di mahkamah. Pada 12 Jun 2025, Mahkamah Tinggi memutuskan plaintif berjaya membuktikan dakwaannya atas imbangan kebarangkalian satu keputusan yang membawa kesan besar terhadap imej Perdana Menteri,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri wajar berundur sekurang-kurangnya buat sementara waktu, bukan kerana telah disabitkan kesalahan jenayah, tetapi atas dasar tanggungjawab moral agar proses keadilan dapat berjalan tanpa campur tangan kuasa.

“PAS hanya menuntut perkara yang pernah dilaungkan Anwar sendiri. Ketika Dato’ Seri Najib Tun Razak berdepan siasatan dan pendakwaan, Anwar menjadi individu paling lantang mendesak peletakan jawatan.

“Hari ini, apabila situasi hampir serupa berlaku ke atas dirinya, prinsip itu entah ke mana menghilang. Jangan jadi seperti jari, satu menunjuk kepada orang, empat lagi menunjuk kepada diri sendiri,” tegasnya.

Firdaus turut membidas kenyataan Setiausaha Agung PAN yang menuduh PAS bersikap hipokrit, sambil menyifatkan parti itu wujud sekadar memenuhi kuota, tanpa memberi impak besar kepada hala tuju negara.

“Tidak perlulah menjadi hero mempertahankan Anwar, seolah-olah jerung di lautan dalam, sedangkan realitinya sekadar anak berudu hiasan longkang hanya menari riuh bila hujan, senyap tenggelam bila kemarau.

“Lebih menyedihkan, PAN kini menjadi lubuk kecewa buat ahlinya sendiri. Ramai yang sudah keluar dan menyeberang ke PKR kerana melihat Amanah gagal menjadi wadah masa depan.

“Kalau dalam rumah sendiri sudah hilang keyakinan, adakah layak untuk berlagak jadi penjaga moral politik negara? Maka sudah sampai masanya untuk PAN bermuhasabah atau apakah masih relevan, atau lebih baik dibubar agar tidak menjadi liabiliti kepada blok kerajaan sendiri?” soalnya.

Tambahnya, PAS tidak pernah melindungi mana-mana pemimpin mereka yang terbukti bersalah, malah sehingga kini tiada satu pun keputusan mahkamah menyabitkan pemimpin PAS dengan kesalahan jenayah seperti yang berlaku dalam kes ini.

“Kami tidak mahu sistem keadilan negara terus dicemari persepsi berat sebelah. Sebab itu kami menuntut supaya Perdana Menteri berundur, agar siasatan lanjut (jika ada) dapat dijalankan secara bebas dan meyakinkan rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung PAN, Muhammad Faiz Fadzil baru-baru ini mendakwa PAS sebagai hipokrit kerana mendesak Anwar melepaskan jawatan Perdana Menteri susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -