
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memandang serius kenaikan tarif pelabuhan di Pelabuhan Klang hingga 30 peratus, peningkatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan penyusunan semula tarif elektrik yang dijangka menambah beban kos kepada pengilang, pengusaha logistik dan pengguna.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kenaikan yang diumumkan itu berlaku dalam keadaan ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya pasca pandemik, ditambah pula ketidaktentuan geopolitik dan aliran perdagangan global.
“Tindakan kerajaan mengenakan beban kos berlapis terhadap sektor industri dan pengangkutan adalah tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan, dan tidak selari dengan semangat pemulihan ekonomi.
“Menurut kajian Federation of Malaysian Manufacturer (FMM), kos pengendalian kontena 20 kaki (TEU) dijangka meningkat daripada RM300 kepada RM390, manakala caj penyimpanan kontena melonjak hampir 200 ke 243 peratus.
“Ini bukan sahaja menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat serantau, malah boleh menyebabkan penghijrahan pelabur ke pelabuhan-pelabuhan jiran seperti di Vietnam, Indonesia dan Thailand yang menawarkan yuran pengendalian yang lebih murah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kerajaan perlu sedar bahawa Malaysia berada di tangga ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD), di mana lonjakan kos pelabuhan dan logistik akan memberi kesan rantaian terhadap harga barang, kadar inflasi, dan kesejahteraan pengguna.
Justeru, Ahli Parlimen Jerantut itu menggesa kerajaan membekukan segera semua kenaikan tarif pelabuhan, cukai SST tambahan dan tarif elektrik, serta meminta Kementerian berkaitan mengadakan dialog terbuka dengan pihak industri.
“Adakan perbincangan dengan syarikat perkapalan, pengusaha logistik, dan pengguna pelabuhan. Dengarkan maklum balas, kenal pasti kesan kenaikan tarif terhadap kos perniagaan, harga barang, daya saing eksport dan import,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar kesan kenaikan ini dibentangkan terlebih dahulu di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi menyemak semula justifikasi kenaikan dan impaknya terhadap ekonomi negara.
Selain itu, kerajaan disaran meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan melalui pendigitalan dan automasi agar masa pemprosesan (dwelling time) dapat dikurangkan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pengguna walaupun tarif kekal.
“Perikatan Nasional akan terus mendesak agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif, progresif dan berempati. Ekonomi negara tidak boleh dipulihkan dengan membebankan rakyat dan industri.
“Sebaliknya ia memerlukan kecekapan pengurusan, dasar berpandangan jauh dan keutamaan kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











