
KOTA MELAKA: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Melaka telah mengadakan Konvensyen DHPP Melaka yang menyaksikan kejayaan pembentukan Jawatankuasa DHPP Negeri bagi sesi baharu 2025-2027.
Dengan kehadiran 35 anggota, perasmian mesyuarat itu disempurnakan Ketua DHPP Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian pada majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DHPP Melaka, Taman Peringgit Jaya, di sini pada 15 Jun lalu
Menariknya, DHPP Melaka berterusan menerima penyertaan keahlian dengan terbaharu kebanyakan mereka adalah kalangan anak muda yang begitu bersemangat di mana keanggotaan kini terdiri telah berjumlah sekitar 100 ahli aktif.
Difahamkan, pada ketika ini, komposisi keanggotaan di negeri ini adalah terdiri daripada 75 peratus kaum Cina, dengan 60 peratus daripadanya adalah golongan muda berumur antara 20 hingga 40 tahun, dan 25 peratus lagi daripada kaum India.
Konvensyen yang menjadi Mesyuarat Agung Tahunan sayap keanggotaan bukan-Islam PAS di Melaka ini menyaksikan Dr Shawn Loh kekal dipilih sekali lagi untuk menerajui pasukan tersebut untuk dua tahun lagi.
Perwakilan yang memilih juga memandatkan jawatan Naib Ketua kepada Mak Kah Keong, manakala Setiausaha Negeri dipercayakan ke atas Cherie Choo dan Penolong Setiausaha kepada Roger Tan Leong Chew.
Bendahari dan Penolong Bendahari masing-masing disandang, Chan Ti Hoe dan Lee Kok Seng, manakala Ketua Penerangan, Dr Tony Khoo Nee Kah, sementara Ketua Pemuda, Murugan Krishnan, serta Ketua Wanita, Cherie Choo dan Penolongnya, Chea Bik Yin.
Ahli Jawatankuasa Negeri pula terdiri daripada Lee Fook Sang, Dr Jenn Chan SL , Loh Yeong Nian, Loh Wen Tsae, Kannan Balaram, Lee Kok Kin, Ong Wei Xiong, Yong Sook Fan, Foong Wai Leon
Dalam mesyuarat itu juga menyaksikan seluruh anggota DHPP Melaka menyatakan komitmen akan terus bekerjasama untuk membina keharmonian kaum di negeri bumi bersejarah tersebut melalui peranan mereka.
Antara inisiatif akan diusahakan juga adalah untuk mewujudkan peluang, ruang keusahawanan, latihan kemahiran dan bantuan ekonomi praktikal, selain forum silang budaya dan projek keharmonian agama, serta memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat akar umbi.

Naib Ketua DHPP Melaka, Mak Kah Keong turut mengemukakan cadangan bagi menyantuni permasalahan berlaku dalam masyarakat atau komuniti penduduk antaranya seperti kes pembunuhan di Bukit Rambai baru-baru ini.
Beliau mencadangkan beberapa inisiatif untuk menangani masalah keluarga, kursus kaunseling psikologi, dan aktiviti kesihatan belia bagi mengurangkan tekanan yang tidak dapat dilawan terhadap orang ramai untuk terus hidup.
“Supaya mereka tidak mudah melakukan perkara yang mencederakan diri sendiri atau orang lain,” ujarnya yang ternyata kesal dengan tragedi seumpama itu berlaku di mana menjadi petunjuk kehidupan rakyat terjejas oleh banyak perkara kini.
Dr Shawn Loh pula dalam ucapannya berkata bahawa media sosial akan terus menjadi sumber utama maklumat yang betul untuk setiap kumpulan etnik untuk lebih memahami budaya masing-masing dan bukannya untuk konfrontasi politik.
“Politik bukan sahaja ruang untuk menunjukkan imej yang baik di mata masyarakat, malah medan memperjuangkan dasar dan tindakan untuk memperbaiki nasib rakyat. Politik adalah tanggungjawab, bukan pentas untuk prestasi,” ujarnya.
Tegas beliau, mementingkan kebajikan rakyat dan pembangunan negara adalah tugas mesti dilaksanakan oleh setiap pemimpin yang berjiwa rakyat. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











