Tunai solat lima waktu kandungan ceramah K-Rabb

- Advertisement -

KUALA KRAI: Kepentingan untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam menjadi antara intipati utama ceramah Komuniti Rabbani (K-Rabb) dalam program Bina Ummah.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan berhasrat untuk menerapkan lagi Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dalam komuniti.

Selain itu kata beliau, program tersebut juga mampu menjadi platform untuk menyatukan dan memupuk masyarakat bagi melaksanakan amalan agama Islam dengan lebih baik dalam kehidupan.

“Ceramah ini menekankan kepentingan menjaga kewajiban solat lima waktu, peranan ibu bapa dan anggota keluarga masing-masing, dan juga kerja dakwah yang melibatkan semua pihak.

“Ia juga menjadi menjadi wadah penting mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat selain memupuk semangat dan amalan agama Islam dalam komuniti,” katanya.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam Hilmi berkata, program itu dikelola Pejabat Timbalan Menteri Besar bersama Pusat Khidmat Masyarat Dun Guchil dan Masjid Bandar Kuala Krai.

Beliau berkata, lebih 2,000 pengunjung menghadiri program yang diadakan dalam Unit Daerah Mengundi (UDM) Kuala Krai itu turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sukan rakyat.

Program itu katanya turut diadakan pameran agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Anti Dadah Malaysia dan pemeriksaan kesihatan Klinik Bandar Kuala Krai

“Saya amat bersyukur di atas sambutan dan sokongan yang diberikan oleh penduduk Kampung Guchil dan juga kampung sekitarnya kepada program Bina Ummah pada tahun ini.

“Semoga usaha seumpama ini dapat menjadi wadah penting melahirkan masyarakat Islam unggul, bukan sahaja dari aspek kerohanian, malah dari sosial dan kemasyarakatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -