GST, SST: Tiada media berani siarkan berita PMX

Diperlekeh kerana kejahilan mengenai GST dan SST

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebagai memalukan dan memperlihatkan kejahilan terhadap sistem percukaian negara.

- Advertisement -

Menurut beliau, Anwar yang juga Menteri Kewangan diperlekeh dan dipersenda oleh pelbagai pihak termasuk pembangkang, netizen serta ahli dan lasykar siber Umno serta MCA yang merupakan parti komponen kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sendiri.

“Semalam merupakan hari sangat memalukan buat Perdana Menteri ke-10 (PMX), apabila dia diperlekeh dan dipersenda dengan begitu teruk sekali oleh pelbagai pihak, daripada pembangkang, netizen, hinggalah ahli-ahli dan cybertrooper Umno dan MCA yang merupakan anggota parti kerajaan PH-BN sendiri.

“Semuanya akibat kejahilannya yang ketara tentang sistem percukaian GST dan SST,” ujarnya Ketua Penerangan BERSATU itu dalam satu kenyataan dalam media sosial miliknya.

Tun Faisal berkata, Perdana Menteri mungkin menyangka rakyat mudah diperdaya seperti penyokong PH, namun realitinya rakyat kini jauh lebih celik dan cerdik.

“Malah, ahli-ahli dan ‘cybertrooper’ Umno dan MCA yang lebih faham mengenai GST dan SST pun tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memperlekeh dan membidas kenyataan PMX,” terangnya.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai ironik apabila penyokong kerajaan sendiri tidak dapat mempertahankan kenyataan bercelaru dan fakta salah dikeluarkan Perdana Menteri mengenai GST dan SST.

“Maka, tidak hairanlah jika emoji ketawa, komen-komen mengutuk dan menyindir PMX juga datang daripada ahli-ahli dan ‘cytro-cytro’ Umno dan MCA sendiri,” sindirnya.

Tun Faisal berkata, amat memalukan dan berbahaya apabila seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak memahami perbezaan asas antara GST dan SST kerana ia boleh menjejaskan dasar percukaian serta ekonomi negara secara menyeluruh.

“Ekonomi negara berada dalam risiko yang tinggi, bukan kerana tekanan luaran semata-mata, tetapi kerana dasar dalaman yang diputuskan berdasarkan kefahaman cetek dan kefahaman yang salah Perdana Menteri yang kononnya mengetuai reformasi fiskal,” ulasnya.

Tambah beliau, keengganan atau kejahilan PMX untuk memahami kelebihan GST menyebabkan Malaysia masih kekal dengan sistem percukaian SST, sedangkan lebih 160 negara di dunia telah beralih kepada GST yang lebih cekap dan telus.

Apa yang lebih membimbangkan katanya, adalah apabila tiada satu pun agensi media utama yang menyiarkan isu berkenaan secara meluas, seolah-olah kejahilan Perdana Menteri mengenai dasar fiskal negara bukan isu penting.

“Kesiluan media untuk menjadikan kejahilan PM10 ini sebagai tajuk berita utama boleh mengakibatkan tanggapan yang salah terhadap agensi media Malaysia.

“Iaitu mereka dikuasai kerajaan, dikongkong budaya takut dan tiada kebebasan sebenar, walaupun mereka baru saja menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan menubuhkan Majlis Media,” jelasnya.

Tun Faisal memberi perbandingan jika perkara sama berlaku di negara lain, pastinya ia menjadi bahan berita dan perdebatan nasional.

“Bayangkan jika perkara yang sama berlaku di negara lain — seorang Presiden atau Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tidak tepat, dangkal dan mengelirukan rakyat mengenai sistem percukaian.

“Pasti ia menjadi bahan berita dan jenaka utama di akhbar, TV dan menjadi perdebatan nasional,” kupasnya.

Namun, katanya, di Malaysia, rakyat hanya mengetahui isu itu melalui media sosial kerana media tempatan memilih untuk berdiam diri dan tidak menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat.

“Bukankah ini juga boleh dilihat sebagai suatu kegagalan institusi media dalam memikul tanggungjawab semak dan imbang,” persoalnya.

Beliau menegaskan, kesan daripada keadaan itu akan menyebabkan agenda ‘pembodohan rakyat’ oleh kerajaan akan terus berlaku tanpa sekatan, manakala rakyat akan terus dibebankan dengan ekonomi yang tidak kompetitif.

“Hasilnya, rakyat akan terus dibebankan, ekonomi semakin tidak kompetitif, dan pemimpin-pemimpin kerajaan diberikan seluas-luas ruang untuk terus berucap dengan maklumat yang salah dan menipu rakyat — tanpa ada siapa pun berani menyanggahnya secara terbuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

- Advertisement -