
KANGAR: Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Kangar tekad memperkasa gerak kerja di semua peringkat dengan penekanan terhadap pengukuhan jentera, pembangunan generasi muda dan pengurusan dana ekonomi.
Ketuanya, Suhanawati Jaafar berkata, perkara itu adalah hasil daripada perbincangan strategik yang berlangsung pada Retreat di sini, semalam.
Menurutnya, pertemuan itu bukan sekadar penyelarasan, tetapi menjadi medan penyatuan fikrah dan semangat bagi melaksanakan perancangan yang telah dirancang.
“Retreat ini bukan sekadar platform membentangkan kertas kerja, tetapi medan menyatukan iltizam dan melakar tindakan konkrit di lapangan. Jentera Muslimat mesti digerakkan secara bersepadu dan menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk memusatkan perhatian terhadap pengumpulan dan pengukuhan jentera muslimat melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan mengikut lajnah masing-masing.
Suhana juga menekankan kepentingan memperkukuh pembangunan generasi muda muslimat bermula dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.
“Kita mesti turun kepada pelapis, memupuk kefahaman perjuangan dan mencorak identiti muslimat yang matang, berilmu dan bersedia untuk memimpin ummah,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, DMPK Kangar kini sedang merangka pelan pembangunan dana ekonomi bagi menampung perjalanan gerak kerja dan keperluan lajnah-lajnah di semua peringkat.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sumbangan luar. Sudah tiba masanya kita mencipta kekuatan sendiri, membina tabung dan sumber yang mampu menampung gerakan muslimat dengan lebih tersusun dan berdaya tahan,” katanya lagi.
Tambahnya, segala yang dirancang hari ini mesti dijadikan peluru strategi bagi menghadapi cabaran mendatang.
“Jangan tunggu arahan baru mahu bergerak. Kita sudah ada perancangan, sudah ada kekuatan, maka tugas kita sekarang adalah melaksanakan dengan penuh keyakinan dan istiqamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025











