
KANGAR: “Bangsa Melayu adalah satu-satunya bangsa yang menganut agama Islam, tiada bangsa lain yang semuanya Islam melainkan Melayu. Maka, memperjuangkan Melayu itu, adalah memperjuangkan Islam.”
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menegaskan, kenyataan ini bukanlah lahir secara retorik semata-mata, tetapi dibina atas pengalaman panjang beliau dalam gerakan dakwah dan siasah, sejak era awal PAS sehinggalah kini.
Beliau membuka lembaran sejarah yang jarang didedahkan kepada umum bagaimana PAS suatu masa dahulu berdepan kekeliruan antarabangsa dalam memahami pendekatan kebangsaannya, ketika diwawancara di Kompleks PAS Perlis baru-baru ini.
Tuan Guru mengimbas kembali satu peristiwa penting ketika beliau dan sahabat-sahabat menuntut di Baghdad di mana ketika itu, Yang Dipertua PAS, Allahyarham Dato’ Asri Muda bersama Allahyarham Tuan Guru Abu Bakar Hamzah datang ke Iraq.
Pelajar-pelajar Malaysia di sana mengatur pertemuan dengan beberapa pimpinan Ikhwan Muslimin bagi memperkenalkan gerakan Islam di Tanah Melayu, namun pertemuan itu menyaksikan berlakunya salah faham terhadap pendekatan PAS.
“Ikhwan Muslimin kata perjuangan kamu ni tak betul, sebab kamu perjuangkan kebangsaan, perjuangan Melayu. Mereka lihat itu satu bentuk ‘asabiyyah’ yang bertentangan dengan Islam,” cerita beliau.
Namun, jawapan balas daripada Tuan Guru Abu Bakar Hamzah ketika itu sangat meyakinkan.
“Arab ada yang Islam, ada juga yang Kristian dan Yahudi. Tapi Melayu semua Islam. Bila kami perjuangkan Melayu, maknanya kami perjuangkan Islam. Barulah mereka faham bahawa konteks Malaysia sangat berbeza,” ujar beliau penuh yakin.
Melayu dan Islam tak boleh dipisahkan
Tuan Guru turut menyatakan bahawa dalam masyarakat Melayu, identiti keislaman amat kuat, malah orang Melayu walaupun tidak menunaikan solat atau jahil tentang agama, masih marah jika dikatakan mereka bukan Islam.
“Atas dasar itu, PAS ambil pendekatan untuk perjuangkan Islam dalam kerangka Melayu. Ini bukan soal bangsa lebih utama dari agama, tetapi soal realiti demografi yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan ini juga lahir daripada kefahaman Islam yang syumul, bukan sempit dalam mentafsirkan fiqh waqi’ atau realiti semasa.
Mengulas mengenai prinsip dalam siasah Islam, Tuan Guru menekankan keperluan ulama untuk memimpin PAS kerana mereka memahami batas halal dan haram, juga keperluan darurat yang dibenarkan syarak.
“Contohnya, kalau kita lalu di sungai dan nampak perempuan yang bukan mahram hampir lemas, kita tahu kita boleh selamatkan dia, walaupun perlu sentuh atau peluk, kerana itu darurat.
“Ulama tahu batas ini. Waktu mana boleh buat, waktu mana tak boleh. Sebab itu saya antara yang menyokong kepimpinan ulama dalam PAS,” tegasnya.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, PAS akan terus mengekalkan naratif Melayu-Islam kerana menurutnya, kekuatan PAS hari ini bukan semata-mata kerana kempen, tetapi kerana ‘lisanul hal’ terhadap setiap yang ditunjukkan oleh perbuatan dan akhlak para pimpinan.
“Tak ada pimpinan kita yang terlibat rasuah besar-besaran. Kalau ada pun satu dua, itu tidak sebanding dengan yang lain. Tidak ada juga yang lompat parti untuk cari kemenangan dan kebendaan. Rakyat tengok dan nilaikan sendiri,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa momentum sokongan orang Melayu terhadap PAS hari ini wajib dikekalkan. Tanpa sokongan Melayu, PAS tidak akan mampu menjadi parti yang dominan.
Perjuangan bukan pada menang semata
Namun begitu, Tuan Guru menegaskan bahawa perjuangan Islam tidak boleh diukur semata-mata dengan kejayaan atau kemenangan pilihan raya.
“Dalam Perang Uhud pun, Nabi dan Sahabat RA mengalami kekalahan. Adakah itu bermakna perjuangan mereka gagal? Tidak. Apa yang penting, kamu kena berusaha.
“Menang kalah itu urusan Allah,” katanya sambil mengingatkan para petugas parti agar tidak menjadikan kuasa sebagai matlamat utama perjuangan.
Konsep ini menurutnya, perlu terus menjadi asas dalam gerak kerja politik PAS, termasuk usaha menyatupadukan umat Melayu-Islam di Malaysia.
Tuan Guru juga menyuarakan harapannya agar PAS terus kekal dengan landasan asal penubuhannya pada tahun 1951, iaitu untuk memperbetulkan rukun politik tanah air berdasarkan Islam.
“Apa yang PAS buat pada tahun 1951 itu adalah jihad. Perjuangan yang penuh pengorbanan. Inilah nilai yang perlu dihidupkan semula,” katanya dengan menegaskan perkembangan nasionalisme Melayu dalam PAS tidak pernah memisahkan diri dari Islam.
Sebaliknya jelas bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang ini ia menjadi jambatan bagi mengangkat umat Melayu untuk kembali kepada agama.
“Harapan saya, PAS akan terus menjadi payung yang menyatu-padukan orang Melayu, bukan atas dasar kaum semata-mata, tetapi atas dasar akidah.
“Bila Melayu kembali kepada Islam, maka akan kembalilah kekuatan negara ini,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 16/6/2025











