KUALA LUMPUR: Himpunan ‘Turun Anwar’ yang akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia pada 26 Julai depan merupakan lambang jelas kemarahan rakyat terhadap pelbagai kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Himpunan ini wajib disokong oleh semua pihak yang cintakan kebenaran dan mahukan perubahan ke arah kepimpinan yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata himpunan tersebut bukan sahaja menolak cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), tetapi turut membawa mesej lebih besar iaitu keperluan mendesak untuk mengembalikan semula hala tuju negara yang telah tersasar di bawah pemerintahan kerajaan Madani.
“Himpunan ini lahir daripada kesedaran bahawa segala permasalahan negara – daripada kegagalan reformasi, tekanan terhadap kebebasan bersuara, sehinggalah kepada kenaikan kos sara hidup – semuanya berpunca daripada kegagalan kepimpinan individu bernama Anwar Ibrahim,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut menyifatkan kerajaan pimpinan Anwar berada dalam keadaan amat rapuh apabila partinya, PKR, hanya menguasai sebahagian kecil kerusi dalam komposisi keseluruhan gabungan kerajaan.
“Ada dalam kalangan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan sendiri yang mula bertanya: kalau bukan Anwar, siapa lagi? Pertanyaan sebegini menunjukkan betapa masih ada yang jahil atau keliru terhadap sistem pentadbiran negara.
“Sekiranya Perdana Menteri meletakkan jawatan, Timbalan Perdana Menteri boleh memangku tugas atau Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang diyakini mendapat sokongan majoriti.
“Adakah mereka yang bertanya ini bermaksud bahawa Timbalan Perdana Menteri yang ada hari ini tidak layak untuk menggantikan Anwar?” soal beliau.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan bahawa pergantungan kepada satu individu seolah-olah tiada orang lain mampu memimpin negara adalah satu bentuk pemikiran membahayakan demokrasi.
“Kami tidak berniat untuk menggugat kestabilan negara, tetapi rakyat berhak menyuarakan kekecewaan terhadap seorang Perdana Menteri yang gagal menunaikan janji, mempermainkan slogan reformasi dan semakin menekan kehidupan rakyat bawahan,” tegasnya.
Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia hadir secara aman dan berdisiplin dalam himpunan tersebut sebagai mesej jelas bahawa era mempermainkan kepercayaan rakyat mesti ditamatkan. –HARAKAHDAILY 15/6/2025











