Politik khidmat itu amanah, bukan urus niaga undi

- Advertisement -

KUANTAN: Khidmat kepada rakyat bukan suatu bentuk tukaran undi atau perniagaan untung rugi, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan politik, kata Mohamad Ayub Mat Ashri.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing itu menegaskan, pendekatan mengaitkan sokongan rakyat dengan khidmat yang diberikan hanya mencemarkan nilai keikhlasan dan mendorong kepada budaya politik balas dendam.

“Bila khidmat kepada rakyat dijadikan tukaran undi, kita sebenarnya sedang memperdagangkan nilai kemanusiaan dan keikhlasan dan bila khidmat diberi dengan mengharap sokongan, ia bukan lagi politik khidmat, tapi politik untung rugi.

“Saya terbaca kenyataan Presiden Umno yang menyebut bagaimana ada wakil rakyat sudah angkat jenazah ke liang lahad, bantu masa banjir, beri pelbagai sumbangan, tapi masih tak diundi oleh keluarga si mati. Lalu beliau simpulkan, kononnya politik khidmat tidak lagi relevan.

“Jika beginilah cara fikir kita tentang khidmat, ‘jika tak dibalas undi, maka sia-sia’ maka kita sedang menghina nilai keikhlasan dan secara tidak langsung, menghalalkan politik balas dendam dan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, dalam perjuangan PAS, khidmat bukan alat untuk meraih undi atau pengaruh, sebaliknya satu amanah besar yang dipikul demi rakyat tanpa mengira latar sokongan politik mereka.

“Dalam PAS, khidmat bukan syarat untuk menang. Khidmat itu tanggungjawab dan amanah. Kita berkhidmat kerana kita dipilih untuk memikul amanah rakyat, bukan kerana mahu membina hutang undi yang mesti dibayar setiap kali pilihan raya.

“Kalau khidmat kita tidak dihargai, kita muhasabah, bukan menyerang rakyat. Kalau rakyat tak undi kita, kita periksa semula pendekatan, bukan salahkan orang mati atau keluarga mangsa banjir,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Paya Besar berkata, pendekatan politik berteraskan dakwah dan tarbiah menekankan soal nilai, maruah dan keikhlasan bukan semata-mata kemenangan.

“Politik yang berakar dari dakwah dan tarbiah bukan tentang menang atau kalah sahaja, tapi tentang memanusiakan kuasa. Biar tak dapat undi, asalkan kita tidak hilang maruah sebagai hamba Allah yang diamanahkan kuasa.

“PAS tidak berjuang dengan wang ringgit. Tidak menebar khidmat untuk memungut balasan. Kami faham, hati manusia Allah yang pegang. Kami yakin, doa seorang fakir yang dibantu lebih mahal dari sejuta undi palsu yang dibeli.

“Kalau rakyat tak undi kita hari ini, kita tetap bantu mereka esok. Sebab yang kita cari bukan balasan, tapi redha Allah,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -