
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa umat Islam perlu memahami kandungan al-Quran dalam bahasa yang difahami supaya ajaran dan panduan hidup terkandung di dalamnya dapat diamalkan sepenuhnya.
“Saya dalam kehidupan ini mendengar banyak sudutan daripada ayat-ayat al-Quran, hadis dan sebagainya. Sebab itu saya ingin tahu sama ada sudutan itu betul atau tidak.
“Saya berpendapat bahawa al-Quran datang kepada kita dalam bahasa Arab dan kita tak faham bahasa Arab, jadi kita tak dapat panduan daripada al-Quran.
“Sedangkan al-Quran adalah catatan segala wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad melalui Jibril oleh Allah SWT. Saya anggap bahawa al-Quranlah punca segala-gala yang kita kenali sebagai agama Islam,” ujarnya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku terbarunya, Ad-Deen yang turut dihadiri bekas Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Turut serta Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.
Juga, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.
Turut sama, Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz dan bekas pemimpin Umno, Tan Sri Noh Omar.
Hadir sama, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari serta Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.
Menurut Tun Mahathir, walaupun beliau sudah khatam al-Quran sejak kecil, namun tidak memahami isi kandungannya sehingga memilih untuk membacanya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
“Bahasa yang saya faham ialah bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris, jadi saya baca al-Quran dalam bahasa Melayu. Ada orang berkata kepada saya ‘al-Quran dalam bahasa Melayu bukan al-Quran’. Saya mengakulah al-Quran dalam bahasa Melayu bukan al-Quran.
“Saya bertanya ‘tapi ustaz ajar saya agama Islam dalam bahasa apa?’ Dia kata ‘dalam bahasa Melayu’. Mana saya tahu betul ke tak betul? Kalau ajar dalam bahasa Arab, saya tak faham,” jelasnya.
Dr Mahathir menambah, umat Islam perlu menerima tafsiran atau terjemahan kepada bahasa yang boleh difahami supaya mereka mendapat panduan daripada al-Quran.
Beliau berkata, al-Quran memberi penjelasan berkenaan agama Islam termasuk cara hidup orang Islam dan beliau cuba mengikuti panduan yang terdapat dalam al-Quran sebaik mungkin.
“Tak semua, ada juga yang saya menyeleweng atau tidak ikut sepenuhnya, tetapi kebanyakan yang saya amalkan tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran.
“Saya berpendapat kalau kita ikut ajaran Islam, ad-Din, cara hidup Islam daripada al-Quran, kita akan jadi manusia yang berjaya, bukan saja berjaya di akhirat tetapi berjaya di dunia ini,” terangnya.
Dr Mahathir turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan umat Islam yang kini ditekan hingga ada meninggalkan agama Islam dan memeluk agama lain.
“Ini sedang berlaku kerana apabila negara-negara Islam tidak memberi pentadbiran yang baik, ramai orang Islam terpaksa tinggalkan negara mereka.
“Mereka bukan pergi ke negara Islam lain, tetapi ke negara bukan Islam kerana pendapat mereka ialah pentadbiran di negara bukan Islam lebih selamat.
“Ini bermakna pentadbiran di negara Islam tidak selamat. Kenapa? Apakah ini disebabkan oleh agama kita? Saya baca al-Quran berkali-kali dan saya dapati tak ada yang salah daripada ajaran al-Quran. Yang salah ialah kita tidak amalkan apa yang disuruh oleh agama Islam,” ulasnya.
Menurut beliau, jika umat Islam mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, mereka tidak akan dituduh sebagai pengganas.
“Umpamanya, kita lihat sekarang dengan sedihnya orang Islam dibunuh oleh orang Yahudi di Gaza. Kenapa ini berlaku? Sebab kita tidak ikut kehendak agama Islam.
“Agama Islam dalam al-Quran menyuruh kita membuat persediaan untuk melindungi keselamatan orang Islam. Kita tak buat,” tegasnya yang dua kali menerajui negara sebagai Perdana Menteri.
Dr Mahathir berkata, umat Islam pernah menjadi kuasa besar suatu ketika dahulu dan dihormati di bawah pemerintahan Uthmaniah, namun kini tidak lagi.
“Selepas itu, tidak ada lagi kuasa besar negara Islam. Sebab itu apabila Gaza diserang dan ramai dibunuh, orang Islam tak buat apa-apa. Yang boleh buat pun tak buat, kerana kita tak ikut.
“Kita cukup kaya. Tak pernah orang Islam lebih kaya daripada sekarang. Duit datang berbilion-bilion kerana Tuhan kurniakan kekayaan yang luar biasa kepada orang Islam. Tapi apa yang kita buat dengan duit? Kita bagi kepada Amerika,” terangnya lagi.
Beliau percaya jika umat Islam bersatu dan menganggap sesama Islam sebagai saudara serta menggunakan kekayaan yang dikurniakan Tuhan, mereka mampu mempertahankan Gaza, Lubnan dan lain-lain.
“Tapi kita tak mampu. Bahkan kita sokong orang yang melakukan kezaliman ke atas Gaza. Saya amat sedih. Tak boleh buat apa. Kita hantar bantuan pun tak sampai. Inilah sebab kita tak ikut ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran,” ujarnya lagi.
Dr Mahathir berkata, walaupun beliau bukan ulama atau ahli dalam bidang agama, beliau banyak mendapat panduan daripada al-Quran dan berharap umat Islam menjadikannya sebagai panduan hidup.
“Saya fikir kalau kita amalkan kehidupan cara hidup orang Islam, kita akan pulih semula. Agama kita tak lagi dihina, ditekan, diherdik seperti sekarang.
“Itulah tujuan saya sebagai orang yang bukan terpelajar dalam agama tetapi berpegang kepada ajaran al-Quran. Sedikit sebanyak kejayaan saya berasas kepada pegangan kepada cara hidup orang Islam,” kupasnya.
Beliau berharap bukunya itu dapat memberi sedikit sebanyak pandangan terhadap agama Islam dan menolak dakwaan kononnya agama Islam tidak baik.
“Saya tak boleh terima. Yang tak baik ialah orang Islam, bukan agama Islam. Agama Islam sebenarnya datang daripada wahyu Allah SWT kepada Muhammad yang dicatat dalam al-Quran.
“Saya berdoa supaya kita kembali kepada al-Quran supaya kita dapat pulih semula agama kita dan tidak lagi akan dituduh sebagai pengganas serta diherdik, ditekan dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya seperti yang berlaku sekarang,” katanya. – *HARAKAHDAILY 15/6/2025*











