Armalah perlu khidmat guaman selesai isu cerai

Huzaimy menyampaikan sumbangan kepada penerima.
- Advertisement -

BACHOK: Golongan armalah digesa mendapatkan khidmat peguam bertauliah bagi menyelesaikan masalah perceraian yang masih tergantung atau kes berkaitan lain, demi melancarkan proses tuntutan serta menjaga kepentingan mereka.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, perceraian atau kematian suami bukanlah titik akhir untuk terus melangkah.

Sebaliknya, katanya, armalah harus tabah dan cekal demi masa depan anak-anak yang bergantung sepenuhnya kepada mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Kelantanku Cakna di Kompleks Pembangunan Islam, Kampung Badak, di sini, kelmarin.

Seramai 760 penerima terdiri daripada armalah dan anak yatim dari DUN Pantai Irama menerima sumbangan menerusi program tersebut.

Menariknya, pihak DUN turut menyediakan khidmat guaman secara percuma pada majlis itu bagi memudahkan peserta merujuk permasalahan yang dihadapi.

“Selain itu, masyarakat juga harus peka dan memberikan sokongan moral kepada golongan armalah.

“Dalam suasana gejala sosial yang melanda, armalah yang cekal mampu melawan cabaran dan meneruskan hidup dengan lebih bermaruah,” katanya.

Tambah beliau, kecelaruan dunia serta kehidupan bermasyarakat yang semakin mencabar hari ini menuntut kaum ibu untuk terus menuntut ilmu.

“Duri di hujung jari, ilmu juga di hujung jari, jadi bacalah maklumat yang tersedia di internet untuk mendidik mereka, menjaga serta mengawal mereka agar tidak terjebak dengan gejala tidak diingini,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -