
PASIR PUTEH: Seramai 50 peserta terdiri daripada penghulu dan peserta Tanaman Nangka Al-Falah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal telah mengadakan lawatan teknikal ke Ladang Nangka di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Lanchang, Pahang.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hala tuju Sektor Pertanian dan Penternakan DUN Gaal 2024–2028.
ADUN Gaal, Mohd Rodzi Jaafar berkata, program itu juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan pengurusan moden dan berimpak tinggi dalam bidang pertanian, khususnya tanaman nangka.
“Kita bergerak ke arah pertanian moden yang mampan dan menjana ekonomi rakyat tempatan menerusi tanaman ini (nangka).
“Kerana itu lawatan ini diatur bagi mendapatkan ilmu kepada petani kita supaya menggerakkan misi tanaman ke arah yang lebih sistematik,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail atas sokongan padu serta kehadiran beliau dalam lawatan tersebut.
Terdahulu, rombongan turut singgah di Pejabat PAS Kawasan Lipis untuk menikmati jamuan makan tengah hari serta mendengar taujihat disampaikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga ADN Cheka merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Mohd Rodzi turut merakamkan penghargaan kepada PAS Kawasan Lipis atas layanan mesra dan jamuan yang disediakan.
“Terima kasih yang tidak terhingga pada Dato’ Sri Tuan Ibrahim atas mutiara ilmu dan pengalaman sangat berharga yang dikongsikan,” katanya.
Pada sebelah malam, satu sesi ‘brainstorming’ dan perbincangan strategik turut diadakan bagi merangka pelan tindakan pembangunan sektor pertanian dan penternakan yang lebih menyeluruh di DUN Gaal.
Sesi itu diteruskan dengan pengisian bersama Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari yang membuka medan mencambah fikrah demi kemaslahatan ummah.
Beliau yang juga Mudir Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ) berkongsi mengenai penubuhan dan perkembangan pusat pengajian itu yang kini menjadi antara tumpuan utama di Malaysia bagi mereka yang ingin mendalami ilmu Al-Quran.
Menurutnya, KOMTAQ berjaya menarik minat masyarakat daripada pelbagai latar belakang kerana pendekatan inklusif serta penekanan terhadap pembangunan sahsiah dan kecintaan kepada Al-Quran.
Mohd Rodzi mengucapkan tahniah di atas kejayaan KOMTAQ dalam membentuk masyarakat berilmu yang disifatkannya model sebegini diyakini mampu memberi perubahan besar dalam masyarakat.
Sesi tersebut menjadi pemangkin kepada usaha merangka hala tuju pembangunan sektor pertanian dan penternakan yang bukan sahaja berorientasikan ekonomi, malah turut disepadukan dengan nilai-nilai Islam dan pendidikan rohani. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











