Program pertukaran pelajar bahasa Arab dan Cina

Antara fokus hubungan Kelantan dengan Fang Cheng Gang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pertukaran pelajar dalam bahasa Arab dan Cina menjadi antara potensi yang boleh diterokai dalam hubungan dua bandar antara Kota Bharu dan Fang Cheng Gang, Guangxi, China.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya sentiasa terbuka melaksanakan kerjasama antara dua wilayah.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan oleh syarikat pelaburan Cosmos dari Fang Cheng Gang yang menyatakan hasrat bagi meneroka peluang bagi menjana ekonomi penduduk tempatan.

“Cadangan kerjasama strategik ini dalam bidang berpotensi untuk diterokai seperti pembinaan asas bandar pintar, pertukaran pelajar dalam bidang pengajian bahasa arab dan cina.

“Selain itu latihan TVET, Sekuriti makanan halal, industri hiliran berasaskan kelapa sawit dan juga perlombongan,” katanya mewakili Timbalan Menteri Besar dalam hantaran Facebook semalam.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu menerima kunjungan anggota syarikat pelaburan tersebut di pejabat bagi menyatakan hasrat itu selepas Kasaoka Jepun dan Linxia China.

Beliau berkata, kerjasama tersebut membabitkan dalam industri makanan halal yang digunakan oleh 1.1 juta orang Islam dan menjadikan bandar Linxia Hui sebagai kawasan paling ramai orang Islam di China.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) melaksanakan bandar berkembar dengan bandar Kasaoka Jepun menerusi syarikat Rohm Wako.

Bagi menterjemahkan komitmen dan persahabatan yang terjalin sejak 20 tahun itu kata beliau, sebuah Taman Jepun di Taman al Fursan Pengkalan Chepa di sini dibina hampir tujuh tahun lalu.

Dalam pada itu kerajaan negeri sedang meneliti hubungan dua hala dengan wilayah Xinjiang yang mempunyai banyak warisan kebudayaan Islam yang dipelihara dengan baik oleh pihak berkenaan.

“Kita pernah mengadakan kerjasama strategik bersama Linxia dalam Industri Makanan Halal manakala MPKB-BRI pula mengadakan ‘twin city’ dengan Kasaoka, Jepun melalui syarikat Rohm Wako.

“Kita juga sedang mengkaji untuk mengadakan kerjasama dengan Xingjiang mempunyai populasi Muslim 26 juta penduduk yang beragama Islam yang memiliki pelbagai potensi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -