Nurul Najwa masih trauma, sahabat karib meninggal

Azhar Salleh menziarahi seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam tragedi bas ekspres di Grik, Perak,
- Advertisement -

SETIU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Azhar Salleh menziarahi seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas ekspres di Grik, Perak, 9 Jun lalu.

- Advertisement -

Mangsa, Nurul Najwa Mohd Azmi berasal dari Kampung Pangkal Gong, Pulai Chondong, Kelantan dan kini sedang menuntut dalam semester kedua jurusan Kimia di UPSI.

Menurut Azhar, beliau bersama wakil Penghulu Pulai Chondong hadir bagi menyampaikan sumbangan dan kata-kata semangat kepada mangsa yang masih trauma akibat tragedi itu.

“Alhamdulillah, adik Nurul bersemangat untuk terus menyambung pengajiannya apabila saya menasihatkan beliau agar jangan patah semangat, teruskan perjuangan untuk sambung belajar,” katanya.

Jelas beliau, Nurul difahamkan sedang tidur ketika insiden berlaku dan merupakan individu pertama yang berjaya merangkak keluar dari bas berkenaan.

Katanya, orang awam yang tiba untuk membantu telah menghulurkan telefon kepada Nurul untuk menghubungi bapanya di kampung.

“Lebih menyayat hati, sahabat karibnya yang duduk bersebelahan merupakan antara mangsa yang terkorban dalam kemalangan itu. Ambo nasihatkan dia supaya banyak bersabar dan kuat semangat. Dia masih trauma, tetapi Alhamdulillah dia selamat.

“Saya tekankan kepadanya supaya teruskan belajar sampai habis, insya-Allah satu hari nanti dia akan berjaya jadi guru kimia seperti yang diimpikan,” ujarnya.

Tambah beliau, kesihatan Nurul kini semakin baik namun perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Setiu selepas mengalami kecederaan fizikal.

“Alhamdulillah, keadaan dia makin baik. Rawatan susulan akan diteruskan di Setiu,” katanya lagi.

Azhar turut memaklumkan bahawa bapa mangsa, Mohd Azmi Ali merupakan anggota Bomba yang bertugas di Balai Bomba Daerah Setiu.

Beliau mendoakan agar Nurul segera pulih dan dapat kembali menyambung pengajiannya seperti biasa. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -