Kezaliman terhadap Yusoff tak boleh dibiar berulang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim, menegaskan bahawa apa yang berlaku terhadap Muhammad Yusoff Rawther dalam kes pendakwaan berat sebelah baru-baru ini merupakan bukti jelas tentang bahaya kuasa pendakwaan yang tidak boleh disemak.

- Advertisement -

Menurut beliau, jika anak muda itu disabitkan kesalahan, dia mungkin akan menghabiskan seluruh hayatnya di penjara sedangkan kes itu jelas menunjukkan wujudnya keraguan besar terhadap motif pendakwaan.

“Kejadian ini menjadi peringatan yang menakutkan tentang bagaimana kuasa yang tidak dipantau boleh membawa kepada keadilan terpilih,” katanya dalam satu tulisan di Facebook peribadinya.

Zaid turut menegur sistem perundangan negara yang masih membenarkan Peguam Negara berkuasa sepenuhnya dalam menentukan siapa didakwa dan siapa tidak, tanpa sebarang ruang semakan kehakiman.

“Sistem sekarang, di mana keputusan untuk mendakwa atau tidak oleh Peguam Negara hampir tidak boleh dicabar oleh mahkamah, adalah tidak selari dengan prinsip demokrasi moden,” ujar beliau.

Mengulas kembali laporan polis yang dibuat oleh Yusoff pada tahun 2019 berhubung dakwaan serangan seksual, Zaid mempersoalkan kenapa siasatan dilaporkan disiapkan tergesa-gesa dan keputusan untuk tidak mendakwa dibuat tanpa penjelasan awam yang mencukupi.

“Kita tidak akan tahu sama ada siasatan polis itu lemah, atau keputusan Peguam Negara itu wajar, kerana tiada mekanisme semakan terhadap kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya lagi, kelemahan ini membuka ruang besar kepada penyalahgunaan kuasa, campur tangan politik dan kekebalan bagi mereka yang mempunyai kedudukan.

Zaid mencadangkan supaya kerajaan masa depan menggubal undang-undang yang memperuntukkan semakan bebas terhadap kertas siasatan polis dan keputusan Peguam Negara, khususnya jika wujud elemen niat jahat atau penyalahgunaan kuasa.

“Badan pemantau yang bebas dan mempunyai kuasa undang-undang mesti ditubuhkan bagi memantau keputusan pendakwaan agar tiada pegawai, walau setinggi mana pun jawatannya, berada di atas undang-undang,” katanya lagi.

Zaid menegaskan bahawa apabila institusi pendakwaan tidak lagi berperanan untuk rakyat sebaliknya melindungi elit berkuasa, maka ia telah menjadi sebahagian daripada sistem ketidakadilan itu sendiri.

“Kegagalan mereformasi kuasa budi bicara ini akan menjamin penyalahgunaan berulang — kerana kuasa yang tidak disemak adalah ibu kepada segala bentuk rasuah,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -