
KUALA LUMPUR: Muhammed Yusoff Rawther, 32, dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, daripada dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim, Dato’ Muhammad Jamil Husain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas pembantu penyelidik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu.
Penghakiman menegaskan bahawa meskipun kewujudan dadah jenis ganja dan dua pucuk pistol tiruan tidak dipertikaikan, elemen penting berkait milikan, kawalan, jagaan dan pengetahuan tertuduh terhadap barang tersebut tidak berjaya dibuktikan.
“Selain itu, mahkamah juga telah membuat keputusan di mana mahkamah telah menyatakan dengan jelas bahawa amat tidak selamat untuk memanggil musuh Yusoff Rawther membela diri.
“Makamah juga dalam keputusannya telah menyatakan bukan sahaja tidak selamat tetapi terlalu banyak kemungkinan-kemungkinan terutamanya, akses orang lain kepada kereta Yusoff Rawther pada waktu kejadian tersebut,” kata peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perbicaraan kes di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, hari ini.
Muhammad Rafique yang juga Ketua Penerangan PEJUANG berkata, jurang masa sembilan jam antara jam 10.30 malam hingga 7.30 pagi semasa intipan polis dilakukan juga gagal dijelaskan secara meyakinkan oleh pihak pendakwaan.
“Ingat, fakta kes, 5 pagi, lima panggilan, mereka sampai tempat kejadian 7.30, keterangan 10.30 malam sehingga 7.30 itu sembilan jam gagal dijawab oleh pihak pendakwaan.
“Pihak pegawai penyiasat juga gagal untuk menyiasat dengan jelas penama-penama yang telah diberikan oleh Yusoff Rawther dalam pembelaannya, dalam keterangannya, dalam percakapannya, termasuk nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Hari ini, mahkamah buat keputusan kes tidak kukuh, Yusoff Rawther bebas dan lepas,” katanya.
Beliau berkata, pentingnya untuk sentiasa menekankan satu konsep yang ada dalam negara kita.
“Apa konsepnya? Undang-undang itu jauh lebih tinggi daripada sesiapa dan kita mesti menghormati sistem kehakiman negara. Mahkamah lagi sekali membuktikan, ‘mahkamah adalah benteng kepada rakyat’.
“Hari ini telah membuktikan bahawa keterangan-keterangan yang telah dibawa oleh pihak pendakwaan langsung tidak mencukupi untuk memanggil Yusoff Rawther membela diri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong.
“Bukan sahaja kepada pihak yang Arif Hakim yang telah membuat keputusan dan telah memberikan ruang yang secukupnya daripada semua pihak tak kisah pembelaan ataupun pendakwaan.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai daripada pihak pendakwaan yang telah datang kepada kami sekurang-kurangnya melakukan kerja dengan profesional,” katanya.
Namun, beliau turut membangkitkan semula persoalan mengenai laporan polis dibuat Yusoff pada 12 September 2024, berhubung dakwaan serius mengaitkan beberapa individu termasuk Dato’ Seri Anwar dan Datuk Farhash Wafa Salvador.
“Mula-mula Yusoff Rawther dibawa ke mahkamah. Kita dah pun mohon supaya pihak polis melakukan siasatan dengan sedalam-dalamnya dakwaan yang ditimbulkan oleh Yusoff Rawther dan laporan polis tersebut.
“Persoalan sini saya lontarkan kembali kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.. di manakah siasatan tersebut sekarang dan apakah status siasatan tersebut sekarang?
“Adakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Farhash Wafa Salvador telah dipanggil untuk dirakam percakapan mereka? Kalau tidak kepada Tan Sri, beri jawapan secara bertulis kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Yusoff turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan kerana memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada jam 9.25 pagi, hari yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Pada 12 November 2024, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan untuk memindahkan kes pengedaran dadah ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan.
Dalam kes ini, tertuduh diwakili oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Prosiding ditangguhkan sementara pihak pendakwaan dan pembelaan berbincang di dalam kamar bagi menetapkan tarikh perbicaraan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2025











