
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disifatkan telah membuat tindakan melampau apabila meminta syarikat telekomunikasi (telco) untuk menyerahkan data peribadi pengguna.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff mengecam tindakan itu yang dikatakan meminta data-data sensitif seperti rekod panggilan, alamat IP, lokasi termasuk latitud dan longitud.
“Untuk pengetahuan, sebelum ni kalau berlaku jenayah, agensi penguat kuasa akan minta data dari syarikat telco. Maknanya data yang diminta spesifik pada individu yang disiasat. Bukan semua data, semua masa dan semua orang.
“Persoalannya, apesal kau nak data banyak tu? Apa tujuan kau? Dah macam Korea Utara dah aku tengok. Nak pantau perbualan semua rakyat apesal?” soalnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.
Nurul Islam turut mempersoalkan jaminan SKMM terhadap keselamatan data pengguna sedangkan negara sudah berkali-kali mengalami kebocoran data peribadi sebelum ini.
“Paling aku tak faham, kita dah berkali-kali mengalami kebocoran data. Kenapa SKMM masih nak kumpul data banyak-banyak macam ni? Apa jaminan tak bocor data-data ni?
“Kalau korang ingat lagi, tujuh tahun lepas Fahmi Fadzil sendiri pernah saman SKMM dan kontraktornya sebab kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna telefon kat Malaysia,” ujarnya.
Tegas beliau, permintaan SKMM itu juga boleh dianggap bercanggah dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), yang mengikat pengendali data daripada sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat peribadi tanpa sebab kukuh.
“Kerajaan Madani yang sama pernah naikkan denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta bagi kesalahan dilakukan pengawal data atau pemproses data yang melanggar prinsip perlindungan data peribadi.
“Sekiranya mereka serahkan juga data peribadi rakyat kepada SKMM, apakah SKMM akan menyiasat mereka sebab kesalahan dibawah Akta 709 yang dikawal selia oleh SKMM sendiri?
“Kau nampak tak betapa peningnya Fahmi Fadzil dan SKMM? Syarikat pengendali telco juga berhadapan dengan saman sivil oleh pemilik data sekiranya mereka mengesan data mereka dikongsi kepada SKMM tanpa sebab.
“Pesanan kepada Fahmi Fadzil dan SKMM, jangan buat kerja gila. Walau apa pun tujuan kau, ni negara hukum. Ada undang-undang,” katanya.
Terdahulu, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.
Suruhanjaya itu turut mendakwa tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh pihaknya, dengan data yang diminta tidak mengandungi identiti dan sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu. – HARAKAHDAILY 8/6/2025











