
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengecam tindakan pengendali Menara Kuala Lumpur (KL), Lim Seong Hai Service Master Sdn Bhd (LSHSM) yang dilihat cuba memadamkan identiti dan sejarah negara.
Menurut beliau, tindakan menanggalkan plak Kapsul Masa Wawasan 2020 daripada lokasi asalnya menimbulkan banyak persoalan dan menunjukkan kecenderungan syarikat pengendali itu untuk memadam elemen sejarah.
“Artifak sejarah sudah pasti mengandungi imej, logo, dan lain-lain kandungan lama. Itulah definisi bahan bersejarah. Logo lama tersebut seharusnya dipamerkan sebagai sebahagian koleksi sejarah Menara Kuala Lumpur.
“Tapi apabila logo itu ‘tidak lagi dibenarkan untuk dipamerkan’, maksudnya mereka mengakui bahawa memang mereka mahu padamkan elemen sejarah negara”, katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu turut mempertikaikan dakwaan syarikat pengendali itu bahawa plak berkenaan disimpan dengan baik oleh mereka.
“Saya sertakan gambar yang dikeluarkan oleh Lim Seong Hai Service Master Sdn Bhd agar rakyat sendiri boleh menilai adakah benar ia ‘disimpan dengan baik’ kerana pada pandangan saya gambar itu seperti sebuah stor buruk sahaja.
“Lim Seong Hai Service Master Sdn Bhd dan Datuk Fahmi Fadzil yang bertanggungjawab terhadap Menara Kuala Lumpur perlu berhenti tercari-cari alasan.
“Sudahlah nama Bahasa Melayu Menara KL tidak mahu digunakan, janganlah plak bersejarah yang mempunyai nama Tun Dr Mahathir pun hendak dibuang dalam stor buruk saja.
“Kembalikan plak bersejarah itu ke tempat asalnya, perbaiki apa-apa yang perlu agar lokasi itu selamat untuk pengunjung, dan pastikan artifak berharga itu diraikan sebagai warisan sejarah negara,” gesanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan menggunakan nama ‘Kuala Lumpur Tower’ sebagai kata nama khas sesuatu yang bertentangan dengan amalan sebelum ini dan menegaskan bahawa nama rasmi dalam Bahasa Melayu wajar dikekalkan sebagai identiti nasional.
“Maksudnya, walaupun kita bercakap Bahasa Melayu, mereka mahu kita gunakan Bahasa Inggeris sahaja untuk nama menara tersebut. Nama dalam Bahasa Melayu sudah mereka padamkan.
“Ini berbeza dengan amalan terdahulu iaitu kedua-dua nama ‘Menara Kuala Lumpur’ dan ‘Kuala Lumpur Tower’ digunakan. Pemadaman nama rasmi Bahasa Melayu ini bukan perkara kecil.
“Di negara lain seperti Perancis dan Emiriah Arab Bersatu, nama-nama asal dalam bahasa tempatan tetap digunakan tanpa penggantian kepada terjemahan bahasa asing,” tegasnya.
Wan Saiful dalam pada itu turut merancang untuk mengadakan sesi lawatan rakyat bagi melihat sendiri kawasan berkenaan sekiranya syarikat pengendali dan Kementerian Komunikasi tidak bertindak segera dalam isu tersebut.
Terdahulu, LSHSM dalam satu kenyataan pada Jumaat mendakwa ruang plak tersebut telah dibiarkan begitu sahaja selepas kapsul masa dibuka oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 13 April lalu.
Struktur plak tersebut didakwa tidak lagi dapat ditutup rapat seperti asal dan boleh mengakibatkan risiko kecederaan kepada pengunjung yang berada di kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 8/6/2024











