MIDA, KKM didesak jawab isu kilang ganja di Johor – PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh berkompromi dalam isu melibatkan dasar dadah kerana memberi kesan besar kepada kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ketegasan negara dalam isu berkaitan dadah perlu dipertahankan tanpa sebarang tolak ansur, termasuk dalam konteks pelaburan asing yang melibatkan elemen kontroversi.

Beliau merujuk kepada penglibatan syarikat Ispire Technology Inc, berpangkalan di Amerika Syarikat dan tersenarai di Nasdaq, yang dikatakan memindahkan operasi pengilangan mereka dari China ke Senai, Johor.

“Berdasarkan maklumat umum dan pembentangan pelabur syarikat Ispire secara terbuka menyatakan penglibatan mereka dalam pembuatan produk berkaitan kanabis, khususnya peranti vaporiser untuk kegunaan kanabis.

“Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), lesen pengilang untuk kilang Ispire di Senai dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Namun begitu, persoalan timbul sama ada kelulusan MIDA tersebut turut meliputi pembuatan produk berkaitan ganja (kanabis) yang jelas tertakluk di bawah peruntukan undang-undang Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat turut mempersoalkan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengetahui aktiviti sebenar kilang milik Ispire di Johor.

“Hal ini penting kerana ia melibatkan isu kedaulatan undang-undang serta imej negara dalam memerangi ancaman dadah.

“Sekiranya benar kelulusan telah diberikan bagi pembuatan produk vaporiser yang digunakan untuk ganja, ini menimbulkan persoalan serius terhadap konsistensi dan ketegasan dasar Malaysia berhubung dadah.

“Malaysia selama ini terkenal dengan pendekatan tegas terhadap sebarang bentuk pengedaran, pemilikan dan pengilangan dadah, termasuk ganja yang kekal sebagai bahan larangan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau menggesa tiga perkara utama diberi perhatian segera oleh pihak berwajib iaitu penjelasan rasmi daripada MIDA dan KKM sama ada lesen pengilangan kepada Ispire merangkumi produk berkaitan ganja.

“Selain itu, siasatan segera oleh PDRM dan AADK untuk memastikan tiada pelanggaran terhadap DDA berlaku, serta ketelusan dan ketelitian dalam menyemak sebarang pelaburan asing yang berpotensi menyentuh isu sensitif berkaitan dadah, walaupun bersifat perubatan di negara lain,” katanya.

Terdahulu, kerajaan meluluskan lesen interim pertama bagi pembuatan nikotin di Malaysia kepada sebuah syarikat asing berpangkalan di Ispire Technology Inc, Amerika Syarikat, yang turut terlibat dalam penghasilan produk vape berasaskan ganja.

Perkembangan ini bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan awam sekiranya produk tersebut akhirnya dipasarkan dalam negara, tetapi juga boleh menjejaskan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Oleh kerana dilihat seolah-olah bersubahat dalam penghasilan dan pengedaran peranti yang tidak menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan manusia.

Sebelum ini, KKM menegaskan pengeluaran lesen pengilang adalah di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui MIDA, bukannya di bawah kementerian berkenaan.

KKM dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik di pasaran tempatan adalah dikawal di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -