
SEPANG: Seramai 20 anggota menyertai delegasi PASRelief, Warga Cakna dan MedicAid berlepas ke Somaliland bagi melaksanakan Misi Qurban dan Aqiqah 2025 pada 2 Jun lalu.
Ia merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PASRelief dalam menyampaikan amanah korban dan akikah daripada rakyat Malaysia kepada masyarakat Islam di Somaliland yang diuji dengan kemiskinan, kekeringan dan kebuluran.
Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menzahirkan ucapan terima kasih kepada para peserta yang memilih organisasi berkenaan bagi melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.
“Semoga, pengorbanan dan juga korban yang kita lakukan pada tahun ini diterima oleh Allah SWT dan diganjari dengan ganjaran pahala yang besar,” katanya.
Delegasi berkenaan diketuai Mohd Yusni bersama beberapa Exco Terengganu iaitu Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
Selain Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Haji Hanafiah Mat serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hak Ehwal Pengguna, Dato’ Ustaz Ariffin Deraman.
Majlis pelepasan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah II PASRelief, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dengan turut dihadiri Setiausaha PASRelief, Norhafiza Fadzil dan Ahli Jawatankuasa PASRelief, Dr Rosni Adam.
“Mohon doakan perjalanan misi ini dipermudahkan Allah, serta selamat pergi dan kembali,” kata PASRelief menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Warga Cakna, Dr Suhazeli Abdullah memohon delegasi yang terlibat untuk sama-sama beristighfar atas usaha yang dilakukan itu.
“Moga-moga dalam perjalanan kita ini nanti diberkati oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











