
KUALA LUMPUR: Penjelasan kerajaan berhubung mekanisme dan impak pelaksanaan subsidi petrol bersasar adalah penting bagi memastikan cabaran ekonomi, inflasi dan kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan berkesan.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, hasrat kerajaan dalam penyasaran subsidi RON95 dilihat masih kabur, terutama dari segi penentuan kelayakan dan pengkelasan pendapatan T15 dan B85 yang belum diputuskan Kabinet.
“Begitu juga dengan ketersediaan pangkalan data PADU yang tidak dikemaskini sejak Mac 2024, keupayaan sistem pengesahan MyKad yang melibatkan aspek keselamatan, verifikasi dan infrastruktur digital.
“Khususnya di luar bandar serta penglibatan pengusaha stesen minyak sebagai barisan hadapan bagi menghalang ketirisan dan penglibatan pengusaha stesen minyak sebagai ‘frontliner’ utama bagi menghalang ketirisan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan ke mana penjimatan subsidi sebanyak RM8 bilion seperti didakwa kerajaan itu akan disalurkan, sama ada benar-benar kembali kepada rakyat atau sebaliknya.
Jelasnya, walaupun kerajaan mendakwa 85 peratus rakyat tidak terjejas, kesan berantai daripada kenaikan kos pengeluaran tetap akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan tanpa mengira kelas pendapatan.
“Terdekat adalah ‘bahang’ yang akan dirasai susulan penetapan harga baharu tong gas kepada peniaga yang tidak layak, kenaikan daripada RM26 kepada RM70, pasti akan dialihkan bebannya kepada pengguna.
“Kerajaan perlu memastikan bahawa dana itu dikembalikan semula kepada rakyat melalui bantuan sosial yang telus dan efisien sama ada dalam bentuk bantuan tunai, rebat e-dompet, kupon makanan, kupon pengangkutan awam atau subsidi input pertanian,” ujarnya.
Menurut beliau, keperluan asas seperti petrol, diesel, elektrik, pendidikan dan kesihatan adalah penting bagi membolehkan rakyat menyusun belanjawan peribadi, keluarga dan perniagaan, seterusnya menyerap segala kesan yang terhasil daripada dasar subsidi kerajaan.
“Justeru penyasaran subsidi tidak boleh dilihat semata-mata dari lensa fiskal. Ia mesti dinilai secara menyeluruh dari sudut impak ekonomi, kecekapan pelaksanaan, ketelusan dasar, serta kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
“Sekiranya langkah penyasaran tetap diteruskan dalam ‘kesamaran’, dikhuatiri natijahnya tersasar daripada sasaran yang diharapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











