Aidiladha: Perantau dinasihat hati-hati pulang beraya

Lebih dua juta kenderaan dijangka masuk Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menasihatkan anak-anak Kelantan di perantauan yang akan pulang menyambut Aidiladha bersama keluarga agar sentiasa berhati-hati di jalan raya.

- Advertisement -

Menurut beliau, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kepulangan perantau yang berada di luar negeri itu sempena perayaan di mana kali ini bertembung dengan cuti sekolah.

“Ada yang sudah balik awal sempena cuti sekolah, ada pula yang pulang saat akhir sebelum Aidiladha. Apa pun, pulanglah dengan selamat. Kenderaan pastikan berada dalam keadaan baik, dan patuhilah undang-undang jalan raya.

“Jalan sekarang semakin sibuk kerana ramai mengambil keputusan untuk pulang pada saat-saat akhir,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat mingguan Exco di Mabna Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurutnya, nasihat itu bukan sekadar atas kapasiti sebagai kerajaan negeri, tetapi juga atas dasar kekeluargaan kerana setiap keluarga amat mengharapkan kepulangan anak-anak mereka untuk beraya bersama.

Dr Fadzli turut menyatakan bahawa kemeriahan Aidiladha di Kelantan sudah menjadi tradisi sejak dahulu dan sering disebut sebagai negeri paling meriah menyambut perayaan tersebut.

“Aidiladha di Kelantan sangat meriah. Malah ada yang berkata, kalau hendak sambut Aidiladha yang benar-benar meriah, sambutlah di Kelantan. Tradisi ini kita kekalkan dari dulu sampai sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, Polis Kelantan menganggarkan lebih dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri ini menjelang sambutan Aidiladha yang akan diraikan umat Islam pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah itu dijangka lebih tinggi berbanding musim perayaan Aidilfitri lalu, susulan kepulangan perantau ke kampung untuk bersama keluarga dan melaksanakan ibadah korban.

“Polis akan memberi tumpuan kawalan lalu lintas di lokasi utama termasuk jalan persekutuan, kawasan sempadan serta pusat bandar bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan sepanjang musim perayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -