Raikan Kaamatan dengan semangat persaudaraan, keharmonian

DATUK DR ALIAKBAR GULASAN
- Advertisement -

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera buat seluruh rakyat Sabah yang dikasihi.

- Advertisement -

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut Pesta Kaamatan pada tahun ini dalam suasana harmoni.

PAS Sabah merakamkan ucapan “Selamat Menyambut Pesta Kaamatan” buat seluruh warga Sabah, khususnya kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan semua etnik pribumi yang merayakan perayaan ini.

Pesta Kaamatan adalah lambang keunikan budaya dan warisan masyarakat Sabah yang kaya dengan nilai-nilai kemanusiaan, kesyukuran dan semangat muafakat.

PAS Sabah menjunjung tinggi semangat kebersamaan, toleransi serta perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Kaamatan bukan sekadar satu perayaan budaya, tetapi juga medan untuk kita mempereratkan hubungan antara kaum, memperkukuh jati diri bangsa, serta memupuk keharmonian yang menjadi asas kepada kemajuan negeri dan negara.

Islam mengajar kita untuk menghormati dan menghargai kepelbagaian kerana setiap bangsa dan budaya mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang sejahtera dan beradab. Dijadikan kita dalam kalangan pelbagai bangsa, etnik, latar belakang untuk saling mengenali dan bertolong bantu dalam kebaikan serta mencegah kejahatan.

Justeru, PAS Sabah komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak dalam memelihara keamanan dan keharmonian di Sabah yang kita cintai ini.

Marilah kita raikan Kaamatan ini dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang, sambil menzahirkan rasa syukur atas rezeki dan hasil tuaian yang telah dikurniakan.

Semoga perayaan ini memberi sinar kegembiraan dan menyatukan kita semua sebagai satu keluarga besar rakyat Sabah dan Malaysia amnya.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan”. Semoga Sabah terus makmur, aman dan diberkati.

Sekian, terima kasih.

Salam hormat.

Tulus ikhlas,

YB DATUK DR ALIAKBAR GULASAN
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah
30 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -