‘Advisory Paper’ ASEAN cemar kedaulatan Islam

Ustaz Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAS Negeri Selangor memandang serius dan membantah keras kandungan dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 Malaysia” yang dikemukakan oleh gabungan Civil Society Organisations (CSO) ASEAN.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, dokumen itu bukan sahaja melampaui batas Perlembagaan, malah menjadi wadah membawa masuk agenda ideologi asing yang bersifat sekular, liberal dan tidak berakar dari nilai agama, budaya dan sejarah Malaysia.

“Kami menegaskan bahawa dokumen ini bukan sahaja tidak mencerminkan suara rakyat Malaysia, bahkan bertindak sebagai ‘kuda Trojan’ kepada fahaman liberal antarabangsa. Ia secara terang cuba menggantikan nilai Islam.

“Dan kontrak sosial yang telah mendasari pembinaan negara ini dengan fahaman hak asasi tanpa batas, relativisme moral dan kebebasan yang terlepas daripada ikatan syariah. Malaysia bukan negara sekular.

“Islam bukan sekadar simbol, tetapi asas kepada pembentukan undang-undang, adat, dan peradaban kita. Usaha menyisih agama dari negara adalah satu bentuk penafian terhadap identiti negara, serta ancaman kepada keharmonian sosial yang telah dibina dengan susah payah sejak merdeka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa beberapa cadangan yang diketengahkan dalam dokumen tersebut jelas merupakan suatu bentuk pencabulan terbuka terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Antaranya cadangan memisahkan agama daripada negara (separation of religion and state), bertentangan secara langsung dengan Perkara 3(1) yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

“Usaha melaksanakan undang-undang anti diskriminasi LGBTQIA+, yang jelas bercanggah dengan hukum Islam dan norma majoriti masyarakat Malaysia.

“Percubaan menghidupkan kembali ratifikasi ICERD, yang telah ditolak secara besar-besaran oleh rakyat Malaysia pada tahun 2018 kerana menggugat Perkara 153 dan kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera.

“Cadangan pelonggaran dasar kewarganegaraan secara automatik, yang membuka ruang kepada ancaman keselamatan, ketidakseimbangan demografi, dan pelemahan kedaulatan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak seperti NGO Islam, ulama, cendekiawan, golongan profesional serta anak muda untuk bangkit menyuarakan penolakan terhadap dokumen ini secara sah, berhemah dan konsisten.

“Jangan biarkan ideologi asing meresap perlahan-lahan ke dalam dasar negara atas nama kemajuan dan hak asasi, sedangkan ia sedang memusnahkan nilai kita dari dalam. Inilah jihad zaman ini.

“Mempertahankan kedaulatan agama dan negara daripada dirobek oleh tangan-tangan halus yang menyamar sebagai pembela hak dan kebebasan. Islam bukan penghalang kemajuan, Islam adalah penentu arah sebenar kemajuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -