
KEMAMAN: Kerjasama erat antara PAS dan BERSATU di Terengganu perlu terus diperkukuh dalam usaha mempertahankan kemenangan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan cemerlang pada PRU15 lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai semua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di negeri itu.
“Itu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Justeru, kita mesti pertahan dan majlis pada malam ini cukup untuk kita menterjemahkan kepada rakyat supaya kepimpinan kita sama ada wakil rakyat, DUN atau Parlimen teguh mempertahankan di kawasan masing-masing.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PAS Negeri Terengganu kerana memberi ruang kepada Bersatu untuk sama-sama mentadbir Terengganu.
“Alhamdulillah lebih kurang separuh penggal kami mentadbir dengan sempurna dan bekerjasama dengan baik,” katanya dalam ucapan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 1.0 di Padang Astaka, di sini malam tadi.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, walaupun tiada pembangkang dalam Sidang DUN Terengganu, sistem semak dan imbang tetap berlaku melalui perbezaan pandangan antara wakil rakyat kerajaan sendiri, termasuk dalam kalangan Exco Negeri.
“Majlis kita selama tiga hari bukan untuk kita bersombong-sombong, bermegah-megah, tetapi misi matlamat ‘Teguh Memimpin’ adalah untuk memastikan daripada akar umbi pertengahan seterusnya kepada pimpinan atasan.
“Hal demikian untuk memastikan bahawasannya kita layak menjaga Terengganu walaupun tiada pembangkang, tetapi luahan yang diluahkan oleh Yang Berhormat kita sama sahaja seperti mana pembangkang juga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan di kawasan-kawasan marginal seperti Kijal, Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Hulu Besut bukan sesuatu yang mudah untuk dipertahankan.
“Jadi, pada saya inilah masanya bumi atau Parlimen Kemaman yang dulunya di Kijal merupakan kubu kuat pada Umno-Barisan Nasional (BN) dan misi saya, mudah sahaja untuk tidak lagi menjadi kubu kuat kepada BN di DUN Kijal,” katanya.
Razali turut mengingatkan lima ADUN BERSATU di Terengganu agar sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat dan menjalin kerjasama erat bersama jentera PAS di peringkat cawangan dan kawasan.
“Saya yakin kalau itulah hasrat kita dan hasrat saya sebagai Ketua Badan Pimpinan Terengganu.. kita jemaahkan di peringkat akar umbi dan selesa bersama dengan pimpinan PAS, Insya-Allah, saya yakin lima DUN yang diberikan kepada kita dapat kita pertahan pada PRU16 nanti,” katanya.
Beliau berkata, walaupun sebahagian pemimpin sibuk dengan tugas di luar kawasan, teguran dan maklum balas rakyat perlu diambil serius.
“Teguh memimpin adalah untuk memastikan akar umbi kita daripada cawangan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Badan Perhubungan, PAS Kawasan dan BERSATU Bahagian.. mesti bersatu padu.
“Untuk memastikan kekuatan kita tidak terlerai.. sokongan di antara rakyat kepada kita kekal dan pertambahan-pertambahan pengundi baru jangan kita lupakan. Walaupun kita segak memimpin, tapi jangan lupa kita dekatkan diri dengan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











