Kemaman lokasi sulung Himpunan TMT 1.0

Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KEMAMAN: PAS Negeri Terengganu melancarkan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 1.0 sebagai lokasi sulung bagi program yang dijadual berlangsung selama tiga hari sehingga 31 Mei di Padang Astaka, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Pengerusi Majlis, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program ini dianjurkan bagi memperkukuh semangat kepimpinan dan kesatuan dalam kalangan ahli serta penyokong PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan tema TMT.

Beliau berkata, himpunan ini merupakan suatu program kesinambungan daripada kejayaan sebelum ini yang telah mencapai matlamat, menimbulkan dan juga menghasilkan kemenangan PAS.

“Sebagai contoh, dalam PRU14 pada 2018 yang lalu, kita telah membawa slogan ‘PAS Harapan Untuk Semua’ yang hasilnya Alhamdulillah kita melihat PAS berjaya mendapat 22 kerusi dan Barisan Nasional (BN) mendapat 10 kerusi.

“Berbekalkan dengan itu pada PRU15 pada 2023 PAS membawa tema ‘Teguh Memimpin’ dan Alhamdulillah kita berjaya menyapu bersih kesemua 32 DUN dan 8 Parlimen. Kali ini bagi menghadapi PRU16 sekali lagi PAS Terengganu tampil dengan tema TMT.

“Insya-Allah pada malam ini Kemaman akan menjadi bumi yang akan kita rasmikan himpunan TMT 1.0 akan diteruskan ke daerah-daerah lain selepas ini, dengan jadual pelaksanaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Tuan Guru Husain Awang serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, PAS Dato’ Satiful Bahari Mamat.

Juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor sedta Yang Dipertua PAS Kemaman, Senator Che Alias Hamid dan Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.

Majlis dimulakan dengan penuh keberkatan melalui bacaan ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman 2025, Ustaz Ahmad Uwais Qarni Mat Razali.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang tiga hari penganjuran program, termasuk forum ilmiah, persembahan kebudayaan, acara kekeluargaan, gerai jualan, serta sesi motivasi dan penerangan kepimpinan.

Menariknya, hadiah-hadiah istimewa turut ditawarkan kepada pengunjung bertuah, termasuk tiga buah motosikal jenis ADV, RXZ dan NVX yang dipamerkan di hadapan pentas utama, selain pelbagai hadiah lain yang disediakan sepanjang program. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -