‘Kerajaan tak cakna nasib peniaga kecil dan pengguna’

Isu wajibkan penggunaan tong gas tidak bersubsidi

Ir Ts Khairilnizam
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat (HAKS) menyuarakan kebimbangan serius berhubung keputusan kerajaan yang mewajibkan semua peniaga kecil dan penjaja, termasuk restoran, untuk beralih sepenuhnya kepada penggunaan tong gas tidak bersubsidi.

- Advertisement -

Pengerusi HAKS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan itu akan memberi impak besar terhadap ekonomi mikro dan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Mulai 1 Mei 2025, semua kedai makan, termasuk gerai penjaja, telah dilarang menggunakan silinder gas bersubsidi isi rumah. Sebaliknya, mereka perlu menggunakan silinder gas komersial 14 kilogram (kg) berwarna ungu baharu yang berharga RM70.

“Hampir tiga kali ganda harga silinder gas bersubsidi isi rumah, yang dijual pada harga RM26 sahaja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, peniaga kecil dan penjaja, terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, sangat bergantung kepada subsidi untuk mengekalkan kos operasi yang rendah.

“Penggunaan tong gas tidak bersubsidi dijangka meningkatkan kos operasi harian mereka antara 30 hingga 50 peratus, bergantung kepada jenis perniagaan dan lokasi.

“Sebagai contoh, peniaga makanan yang menggunakan tong gas secara intensif mungkin terpaksa menanggung kos tambahan sehingga RM10 hingga RM20 sehari. Kenaikan kos ini pastinya akan diterjemahkan kepada harga jualan makanan dan minuman.

“Peniaga mungkin terpaksa menaikkan harga antara lima hingga 10 peratus untuk menampung kos tambahan, yang akan membebankan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” terangnya.

Ir Ts Khairil Nizam turut menegaskan, banyak peniaga kecil berisiko menutup perniagaan atau mengurangkan tenaga kerja akibat peningkatan kos operasi.

“Berdasarkan pemerhatian dan laporan dari akar umbi, ramai peniaga kecil kini berdepan margin keuntungan yang semakin nipis, dan ada yang terpaksa menggantung operasi perniagaan mereka kerana tidak mampu menanggung kos yang semakin meningkat.

“Terdapat juga kajian menunjukkan hampir 40 peratus peniaga makanan kecil mengalami penurunan jualan lebih 20 peratus akibat kos dan penurunan kuasa beli pengguna,” ulasnya.

Beliau berkata, jika trend itu berterusan, lebih 20,000 peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara dijangka terjejas, dengan kemungkinan kehilangan pekerjaan bagi lebih 50,000 individu yang bergantung kepada sektor itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan kewajipan penggunaan tong gas tidak bersubsidi sehingga kajian impak ekonomi dan sosial yang menyeluruh dijalankan.

“Bagi memastikan hak pengguna, kerajaan hendaklah mewujudkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang adil untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah.

“PAS juga menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan ini dan mencari jalan penyelesaian yang lebih adil dan mampan untuk semua pihak.

“PAS komited untuk terus memperjuangkan hak pengguna dan memastikan kebajikan peniaga kecil sentiasa diutamakan dalam setiap dasar kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2025

- Advertisement -