
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan ucapan tahniah kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil atas pelantikannya.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, beliau merupakan jurai daripada keturunan ulama besar negeri Kedah, Syeikh Muhammad Idris Al-Jarumi.
“Dewan Ulamak PAS mendoakan agar ketokohan Sahibus Samahah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dapat meneruskan legasi memperkasakan agenda dakwah Islamiyyah di Malaysia amnya selain memperkukuhkan aspek keilmuwan dan fatwa.
“Semoga beliau dikurniakan kekuatan dan kesihatan sepanjang menjalankan tugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan serta mendapat bimbingan daripada-Nya dalam menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Dewan Ulamak PAS turut merakamkan penghargaan kepada mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dr Luqman Abdullah atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang memegang jawatan berkenaan.
Terdahulu, Ahmad Fawwaz dilaporkan media tempatan dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan menggantikan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah yang menamatkan perkhidmatannya baru-baru ini.
Beliau ialah anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan pernah mengetuai jawatankuasa membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GISBH.
Ahmad Fawwaz berkelulusan syariah dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Malaya serta dikenali sebagai sarjana tempatan dalam bidang syariah dan perundangan Islam. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











