
JOHOR BAHRU: PAS Johor menggesa kerajaan agar menetapkan satu dasar yang menyeluruh dan tegas berkaitan pembinaan rumah ibadat di negara ini bagi memastikan isu sensitiviti agama tidak berulang dan keharmonian masyarakat kekal terpelihara.
Ketua Penerangannya, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, kebelakangan ini terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung pertumbuhan rumah ibadat bukan Islam yang dikatakan berlaku tanpa kawalan.
“Mutakhir ini kita menyaksikan isu berkaitan rumah ibadat berbangkit lagi. Perkara ini berlaku apabila rumah ibadat sesetengah agama dilihat tumbuh di sana sini tanpa ada kawalan dan pemantauan.
“Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan telah menetapkan garis panduan dalam membina rumah ibadat umat Islam. Masjid dan surau dibina dengan kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri-negeri.
“Namun dapat dilihat rumah ibadat agama lain (bukan Islam) tumbuh melata tanpa ada kawalan dan pemantauan sehingga menimbulkan kontroversi dan membangkitkan sensitiviti agama dalam masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, keadaan ini wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan agar tidak menjejaskan ketenteraman awam serta agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional.
“Justeru PAS Johor menggesa Kerajaan Madani agar dapat membuat ketetapan yang menyeluruh dalam isu ini supaya agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional tidak terganggu.
“Selain, fokus kepada pembangunan negara agar dapat diberikan keutamaan,” katanya.
Terdahulu, terdapat enam struktur Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.
Kebanyakan struktur tersebut terdiri daripada binaan berskala kecil dengan satu kes direkodkan di Seberang Perai Utara; Seberang Perai Tengah (2); Seberang Perai Selatan (2) dan Daerah Timur Laut (1). – HARAKAHDAILY 26/5/2025











