
KUALA KEDAH: Program ‘Lamanita’ dilancarkan Lajnah Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MASPI) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bakal membantu muslimat menjadi petani kecil-kecilan dan mengurang kos perbelanjaan seharian.
Pengerusi MASPI DMPM, Zuraida Md Noor telah melancarkan program tersebut yang secara tidak langsung memberi peluang kepada wanita khususnya kalangan suri rumah atau tidak bekerja memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah.
Pada ucapannya beliau berkata, makanan yang dimasak serta menggunakan hasil tanaman sendiri, akan membawa keberkatan kepada ahli keluarga, apatah lagi, dalam keadaan kos dan harga barang semakin meningkat, sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan.
“Berbudi kepada tanah ini, walaupun sedikit tetapi impaknya besar. Secara tidak langsung, kita akan dapat mendekatkan diri dengan Allah kerana makan makanan yang sihat dan berkat ini.
“InsyaAllah akan mendidik ahli keluarga menjadi insan yang soleh ataupun solehah,” jelasnya pada program Menggenggam Bumi Hijau yang diadakan di Tebengau, di sini semalam.
Katanya lagi, projek ‘Lamanita’ itu merupakan antara aktiviti MASPI melalui program Menggenggam Bumi Hijau, yang diadakan di seluruh Malaysia.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah dan Pengarah Program Zon Utara, Jamaliah Omar yang juga Pengerusi Lajnah MASPI, Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah.
Juga disertai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Ustazah Fatimah Wan Teh dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kedah, Ustazah Fauziah Abdullah dan wakil Lajnah MASPI Dewan-Dewan Muslimat PAS Kawasan.
Pada majlis itu, 30 peserta menerima bakul sayur-sayuran dan empat batang anak pokok, untuk menjayakan projek ‘Lamanita’ khususnya di kawasan Kuala Kedah.
Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan demonstrasi cara menanam pokok yang betul, agar sihat dan segera mengeluarkan hasil.
Terdahulu, Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berserta Ahli Jawatankuasa MASPI DMPM, turun ke Perlis untuk menjayakan serta melancarkan projek yang sama. – HARAKAHDAILY 26/5/2025











