
BESUT: Dakwaan kononnya beberapa anak yatim tinggal di sebuah rumah tanpa bekalan elektrik di Kampung Apal, di sini adalah tidak tepat, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim.
Jelas beliau, rumah dipaparkan dalam gambar yang ditularkan sebenarnya telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni selepas kematian ibu kepada empat beradik itu.
“Suka saya memaklumkan rumah itu sebenarnya sudah agak lama terbiar tidak didiami setelah kematian ibu.
“Tiga orang anak-anak yatim tersebut sekarang ini menetap bersama nenek mereka di Kampung Apal setelah kematian ibu sementara seorang telah berkeluarga menetap di Kuala Besut. Bapa mereka telah meninggal terlebih dahulu kira-kira 3 tahun lalu.
“Adalah suatu kekeliruan bila berita yang disebarkan menggambarkan seolah-olah mereka mendiami rumah tanpa bekalan elektrik sedangkan ia sebenarnya ialah sebuah rumah tinggal dan terbiar,” jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Kata beliau lagi, dua daripada anak-anak tersebut masih bersekolah dan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Daripada empat orang anak yatim, dua orang lagi masih bersekolah yang telah menerima bantuan persekolahan bulanan dari JKM,” katanya.
Katanya, selepas anak-anak itu menyuarakan hasrat untuk kembali tinggal di rumah peninggalan ibu mereka, pihak Pejabat ADUN Jabi bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Apal telah mengambil inisiatif membaik pulih rumah berkenaan.

“Apabila anak-anak yatim berhasrat untuk kembali mendiami rumah peninggalan ibu mereka, Pejabat ADUN Jabi bersama JPKK Kampung Apal sedang melakukan kerja baik pulih dan pembersihan rumah.
“Bekalan elektrik juga akan disambung sebaik kerja baik pulih selesai. Kami juga akan bantu sediakan kelengkapan asas rumah,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada JPKK Kampung Apal serta Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi yang sentiasa mengambil berat kebajikan anak-anak yatim tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat andaian berdasarkan gambar atau maklumat tidak lengkap kerana ia boleh menimbulkan persepsi tidak tepat.
“Gambar sebuah rumah terbiar yang telah lama ditinggalkan, apabila diviralkan tanpa penjelasan sebenar akan menimbulkan pelbagai persepsi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025











