Karya terbaru TGHH bakal dilancar sempena PBAKL

Ensiklopedia Aqidah Muslimin

Pelancaran buku terbaru Ensiklopedia Aqidah Muslimin’; karya ilmiah hasil tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Permata Ummah (YPU) menjemput orang ramai menghadiri Majlis Pelancaran ‘Ensiklopedia Aqidah Muslimin’; karya ilmiah hasil tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Permata Ummah (PPU), Malik Razak berkata, karya berkenaan merupakan hasil nafas baharu daripada penulisan sebelum ini seperti ‘Batas Iman dan Kufur’ serta ‘Muqaddimah Aqidah Muslimin’.

“Majlis pelancaran ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam majlis tersebut juga akan diadakan satu sesi ‘chit chat’ bersama beliau yang akan dikendalikan oleh penyampai radio Zayan FM, Anas Tahir.

“Selepas itu, Dr Ahmad Samsuri akan menceritakan sisi menarik ataupun ‘untold story’ sepanjang perkhidmatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Tuan Guru selaku Presiden PAS.

“Beliau akan menceritakan segala pengalaman, pengaruh yang beliau dapat daripada didikan Tuan Guru. Seterusnya, beliau juga akan mengadakan sesi lawatan santai dan ramah mesra bersama dengan pengunjung,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Majlis pelancaran berkenaan akan berlangsung pada Khamis, 29 Mei 2025 bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di Pentas Dunia Buku, Dewan Merdeka, Tingkat 4 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pihak PPU dalam pada itu akan mengadakan promosi menarik seperti ‘Beli 2 Percuma 1’; diskaun 50 peratus bagi buku-buku terpilih; baucar diskaun 5 peratus bagi pembelian kali kedua, selain kad istimewa yang akan diberikan kepada semua pembeli buku Tuan Guru.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan buku keluaran PPU boleh hadir di reruai bernombor 7-06 di WTCKL sepanjang PBAKL berlangsung sehingga 1 Jun ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam. – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -