Harga barang ‘menggila’, rakyat makin terhimpit

‘Pemimpin sibuk kuasa, rakyat potong makan’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan kenaikan harga barang ketika ini sebagai ‘semakin menggila’ dan memberi tekanan hebat kepada rakyat, di mana situasi itu bukan sekadar angka atas kertas, tetapi realiti menghantui dapur rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) seperti yang dilaporkan dalam infografik akhbar The Star ini, perbandingan harga barang asas antara tahun 2020 dan 2024 menunjukkan kenaikan yang sangat membebankan rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Antara barangan yang mengalami kenaikan ketara ialah air minuman 500ml daripada RM0.70 kepada RM1.56 (naik 123 peratus), tisu tandas 10 gulung daripada RM9.78 kepada RM20.53 (110 peratus), serta tuala wanita lapan keping daripada RM4.19 kepada RM7.07 (naik 69 peratus).

Selain itu, pelembut fabrik dua liter naik daripada RM8.89 kepada RM14.48 (63 peratus), susu pekat manis 500 gram daripada RM2.82 kepada RM4.00 (42 peratus), manakala satay ayam sebatang meningkat daripada RM0.77 kepada RM1.09 (42 peratus).

Barangan asas lain turut mencatatkan kenaikan seperti beras 10 kg (40 peratus), krim mandian 220ml (40 peratus), betik sekilo (40 peratus), roti canai (36 peratus), milo secawan (36 peratus), mi segera 500g (35 peratus), nenas sekilo (35 peratus), kopi-O secawan (34 peratus), teh tarik secawan (33 peratus) dan nasi putih sepinggan (32 peratus).

Turut meningkat ialah harga epal Fuji sebiji (naik 32 peratus), minyak masak 3kg (32 peratus), sos tomato 475g (31 peratus) serta pisang emas sekilo (30 peratus).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyelar sikap pemimpin kerajaan yang menurutnya lebih sibuk dengan perebutan kuasa dan pergolakan dalaman berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

“Setiap angka ini bukan sekadar statistik, tetapi cebisan keresahan rakyat. Rakyat yang makin sempit bernafas, yang makin kerap berlapar. Tetapi apa yang pemimpin buat?

“Mereka sibuk bertelagah dalam parti sendiri. Mereka sibuk berebut jawatan sesama sendiri. Mereka sibuk menyingkirkan satu sama lain, memfitnah, mengatur langkah politik yang tiada penghujung.

“Mereka sibuk menjamin kelangsungan kuasa sendiri, walaupun terpaksa menzalimi rakan seperjuangan sendiri.

“Sedangkan di bawah, rakyat sedang memilih antara beli beras atau bayar bil elektrik. Rakyat sedang berkira-kira sama ada cukup duit belanja anak sekolah minggu depan. Rakyat terpaksa berjimat sampai ke tahap potong makan satu keluarga,” terangnya.

Beliau turut mempersoalkan sampai bila suara rakyat akan didengari dan penderitaan mereka akan diambil serius.

“Negara ini sedang dibebani bukan sahaja dengan kenaikan harga barang, tetapi juga dengan kepimpinan yang hilang arah dan lupa janji. Pemimpin yang rakus kuasa, tetapi gagal membela nasib rakyat.

“Sudah tiba masa rakyat bangkit bukan sekadar bersuara, tetapi mengubah haluan. Jika pemimpin hari ini lebih peduli survival politik mereka daripada kelangsungan hidup kita, mengapa kita perlu terus sokong mereka?

“Bangkitlah. Suara kita bukan sekadar keluhan. Ia adalah isyarat perubahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -