
PASIR MAS: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, ] Mohamad Nasriff Daud malam ini menziarahi keluarga Allahyarham Abdullah Mat di Kampung Landar, Slow Machang, di sini.
Allahyarham yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai Abeloh telah kembali ke rahmatullah semalam di Tanah Suci Makkah, dalam satu kejadian yang penuh pengajaran dan keinsafan.
Difahamkan, Allahyarham rebah secara mengejut ketika menunaikan tawaf sunat di Masjidil Haram, tepat pada pusingan kelima.
Dalam suasana penuh keheningan dan kebesaran rumah Allah, beliau menghembuskan nafas terakhir, disaksikan beberapa orang jemaah yang turut bersama dalam ibadah tersebut.
Allahyarham merupakan seorang kakitangan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan.
Isterinya, Sarifah Hassan, yang juga sedang berada di Makkah ketika kejadian berlaku, merupakan seorang guru.
Pasangan ini dikurniakan empat orang anak – seorang lelaki dan tiga perempuan.
Pemergian Allahyarham mengejutkan keluarga dan rakan-rakan, khususnya di kalangan sahabat sekerja dan masyarakat setempat.
Beliau dikenali sebagai seorang yang mesra, baik budi pekerti dan sangat disenangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Lebih mulia, pemergian beliau berlaku dalam keadaan sedang beribadah di tempat paling suci dalam dunia Islam, Masjidil Haram – satu tanda husnul khatimah yang sangat dicita-citakan oleh umat Islam.
Menariknya, pemergian beliau turut mendapat liputan meluas dalam media massa di Malaysia, bahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar turut memaklumkan berita duka ini di laman Facebook rasmi beliau.
Dr Mohd Na’im menyatakan rasa dukacita dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Kehadiran wakil rakyat Pasir Mas dan Pengkalan Pasir dalam ziarah tersebut jelas memperlihatkan keprihatinan terhadap keluarga mangsa, sekali gus membawa mesej kebersamaan dan kasih sayang sesama masyarakat dalam menghadapi detik-detik kehilangan insan tersayang.
“Kami mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Buat isteri dan anak-anak, semoga terus diberi ketabahan dan kekuatan oleh Allah SWT,” ujar Ahmad Fadhli. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











