YTSP Perlis raikan 81 pelajar cemerlang SPM 2024

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli ke majlis
- Advertisement -

KANGAR: Nur Izzati Irdina Norzaimi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma yang meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

- Advertisement -

Anugerah tersebut disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat bersama Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis turut menyaksikan sembilan lagi pelajar cemerlang menerima Anugerah Kepujian YTSP Perlis atas kejayaan membanggakan masing-masing.

9 pelajar terima anugerah kepujian

Antara penerima anugerah tersebut ialah Chong Irene (11A); Nur Aisyah Danish Aziz (10A); Rais Zafarsyahmi Mohd Syafarudy (9A); Yong Zhee Sheng (11A) semua dari SMK Derma.

Juga Nuruljannah Aqilah Zainalfitre (9A) dari SMK Agama Alawiyah; dan Ahmad Iman Mohamad Fadhili (12A); Muhammad Azrul Arif Shaiful Nizam (12A); Nur Ain Maisarah Mohd Rozai (12A); serta Muhammad Hanif Fitri Noorzamri (11A) semua dari SMK Agama Arau.

Pelajar cemerlang YTSP

Selain itu, seramai 71 pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’s’ daripada sekolah harian di seluruh Perlis turut menerima Anugerah Khas YTSP Perlis sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

Anugerah cemerlang bidang sukan

YTSP turut memberikan penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam bidang sukan dengan empat atlet muda diraikan atas pencapaian gemilang mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mereka ialah Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin (Woodball); Muhd Shahrul Azmer (emas acara 400m); Zaiman Megat Abu (emas lompat kijang) semua peringkat antarabangsa dan Muhammad Hafizuddin Roslin (emas Sukan Malaysia – SUKMA).

Dalam titah baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga pendidik dan ibu bapa atas peranan penting mereka dalam mencorakkan kecemerlangan anak-anak pelajar.

“Guru memainkan peranan penting sebagai arkitek pembangunan ilmu dan sahsiah. Selain menyampaikan ilmu secara sistematik, guru juga memastikan bahan bantu belajar yang digunakan relevan dan sesuai dengan keperluan semasa peperiksaan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, komitmen para guru tidak terhenti di dalam bilik darjah semata-mata, bahkan mereka turut bertindak sebagai pembimbing dan pendorong utama dalam perjalanan akademik pelajar.

“Atas segala sumbangan dan dedikasi yang dicurahkan tanpa mengenal penat lelah, wajar untuk kita menyanjung tinggi jasa mereka dan menghargai pengorbanan mereka dalam membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak mulia,” titah baginda.

Inspirasi kepada generasi akan datang

Baginda turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya, menyifatkan pencapaian mereka sebagai satu sumber inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan sama.

“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan negeri Perlis, tetapi menjadi satu suntikan semangat kepada rakan sebaya mereka untuk meyakini bahawa kejayaan menuntut ilmu adalah sesuatu yang boleh dicapai melalui usaha dan dedikasi yang tidak putus,” titah Tuanku Raja Muda. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

- Advertisement -