
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berhasrat meneruskan Sukan Muhibbah antara Kelantan dan Narathiwat supaya lebih ramai rakyat dalam kedua-dua wilayah dapat meraih manfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, ia bukan hanya aktiviti sukan, malah membabitkan hubungan dua pihak.
Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri agar hubungan antara dua wilayah yang dipisahkan oleh Sungai Golok itu dapat diperkukuhkan biarpun berbeza dari segi bahasa pertuturan.
“Sukan Muhibbah ini bukan hanya tentang pertandingan di padang, tapi lebih besar daripada itu, ia menjadi jambatan muhibah menghubungkan dua wilayah serumpun.
“Malam ini bukan hanya penutup majlis ini, tapi juga pembuka ruang baharu kepada kerjasama lebih erat khususnya dalam bidang belia, sukan dan hubungan masyarakat,” katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu menghadiri majlis penutup Sukan Muhibbah antara Kelantan dan Narathiwat mendapat sambutan baik.
Beliau turut mengetuai delegasi dan atlet dari Kelantan seramai 153 orang yang menyertai pelbagai aktiviti sukan diadakan di Stadium Narathiwat termasuk sukan traditional rakyat.

Katanya, majlis penutup temasya pertama kali diserikan persembahan kebudayaan Thailand bertemakan ‘Welcome to Thailand’ diikuti ucapan dan penyampaian hadiah.
Media sebelum ini melaporkan hubungan dua wilayah tersebut terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Sukan Muhibbah yang diadakan selama dua hari bermula 17 Mei lalu.
Beliau berkata sebanyak lapan acara sukan yang bakal dipertandingkan termasuk sukan rakyat seperti lumba kaki tiga, lari dalam guni selain aktiviti kesenian membabitkan dua wilayah. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











