
JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan papan tanda larangan perbuatan homoseksual di negeri tersebut.
Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, inisiatif itu dilihat bertepatan dengan nilai dan budaya umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.
“Usaha Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan papan tanda larangan homoseksual perlu dilihat sebagai satu usaha positif ke arah membina dan membangunkan modal insan yang menepati fitrah.
“Ia perlu dinilai berdasarkan keimanan dan kemanusiaan yang suci. Walaupun Islam memberi ruang kebebasan hak kepada individu, namun perkara yang menyalahi fitrah adalah keji di sisi Allah SWT dan perlu dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tindakan meletakkan papan tanda larangan homoseksual itu adalah sebahagian daripada konsep amar makruf nahi mungkar yang selari dengan tuntutan Syarak.
“Justeru, PAS Johor menyeru umat Islam agar bersatu hati dalam menolak LGBT dan sama-sama mempertahankan kesucian fitrah manusia. Kembali kepada fitrah adalah suatu tuntutan. Kembali kepada fitrah bererti kembali kepada kesucian,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu papan tanda yang memaparkan dua figura lelaki berpegang tangan sambil dikelilingi api bersama ayat al-Quran yang melarang hubungan sejenis berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Inisiatif oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu disokong penuh kerajaan negeri sebagai satu usaha mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Quran dan Sunnah. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











